Program Transformasi Negara (NTP) yang dilaksanakan kerajaan Malaysia sejak lima tahun lalu melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membuahkan hasil yang cemerlang.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun berdepan dengan kemelut ekonomi global, GTP dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) hampir sempurna, iaitu 99 peratus.
Beliau berkata, hal yang sama berlaku dalam ETP apabila Bidang Ekonomi Utama Negara mencapai 111 peratus KPI, manakala Inisiatif Keberhasilan Utama Negara pula mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya.
Menurutnya, meskipun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dengan perancangan rapi serta pemantauan berterusan mencatat pertumbuhan purata KDNK 5.6 peratus sejak 2010.
Dengan kadar purata 5.6 peratus ini, ekonomi Malaysia dalam keadaan sihat dan hasrat untuk menjadi negara maju bukan sekadar impian tetapi dengan momentum yang ada akan menjadi kenyataan.
---Utusan