Cari:
China Negara Pertama Yang Menemukan dan Menamai Gugusan Pulau-pulau di Laut China Selatan
2016-04-28 10:25:56 CRI Cetak

China merupakan negara terawal yang menemukan, menamai, meneroka dan membangunkan pulau-pulau di kawasan perairan Laut China Selatan, selain yang paling awal mentadbir kawasan perairan tersebut hingga sekarang. Kedaulatan China terhadap pulau-pulau dan kawasan perairan Laut China Selatan tidak boleh dipertikaikan. Catatan sejarah China pada zaman Dinasti Qin(tahun221--206 Sebelum Masihi) dan Han(tahun 206 Sebelum Masihi--220 Masihi) telah mengesahkan rakyat negara ini telah melakukan pelayaran dan menjalankan aktiviti perikanan di Laut China Selatan. Rakyat China sering berlayar dan menangkap ikan di kawasan perairan Laut China Selatan dan paling awal menemukan pulau-pulau dan terumbu di sana serta turut memberi nama kepada pulau-pulau dan terumbu tersebut. Pada zaman Dinasti Han Timur(tahun 25-220 Masihi), terdapat sebuah buku geografi bertajuk Han Shu yang ditulis oleh Ban Gu telah merakamkan usaha Maharaja Wudi Dinasti Han menghantar utusan ke negara-negara di kawasan perairan Laut China Selatan, sekali gus mencatat rekod permulaan pelayaran rakyat China di kawasan perairan Laut China Selatan. Dalam buku Yi Wu Zhi yang dihasilkan oleh Yang Fu Dinasti Han Timur pula, terdapat catatan "Zhanghai qi tou, shui qian er duo ci shi", yang bermaksud, di kawasan perairan Laut China Selatan terdapat pulau-pulau kecil, terumbu, pasir dan pantai, manakala di dalam laut yang tidak dalam itu terdapat banyak batu. Zhanghai merupakan nama Laut China Selatan pada zaman kuno China.

Bagi memenuhi keperluan pelayaran yang selamat dan pengenalpastian laluan pelayaran, para nelayan dan anak kapal China telah memberi nama yang berbeza-beza kepada pulau-pulau tersebut mengikut keistimewaan masing-masing, seperti Shanhuzhou, Ruluozhou dan Changsha Shitang. Seiring dengan perkembangan industri pelayaran dan peningkatan ilmu pengetahuan tentang Laut China Selatan dan pulau-pulau di sekitarnya serta berdasarkan kedudukan dan taburan pulau-pulau tersebut, leluhur China telah menamai pulau-pulau tersebut Qianli Changsha, Wanli Shitang, Wanli Changsha dan Nan Ao Qi.

Jika dikira daripada catatan Yi Wu Zhi mengenai pulau-pulau di Laut China Selatan sejak zaman Dinasti Han Timur, rakyat China telah menemukan pulau-pulau itu hampir dua ribu tahun yang lalu. Jika berdasarkan catatan Dinasti Song (tahun 960-1279), yang telah memberi nama Jiuru Luozhou kepada Kepulauan Xisha dan Shitang kepada Kepulauan Nansha, rakyat China telah menamai Kepulauan Xisha dan Nansha secara rasmi selama hampir seribu tahun. Perkara tersebut adalah lebih awal 1,900 tahun berbanding dengan dakwaan Filipina yang mengatakan mereka menjumpai Kepulauan Nansha pada tahun 1947.

Kerajaan China pada setiap zaman telah menjalankan pentadbiran dan kawalan yang efektif terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan melalui pemberian nama kepada pulau-pulau itu. Pada tahun 1909, Gabenor Guangdong dan Guangxi Dinasti Qing (tahun 1616-1911), Zhang Renjun pernah mengarahkan Panglima Tentera Laut Guangdong, Li Zhun mengetuai lebih 170 orang pegawai dan askar ke Kepulauan Xisha untuk menjalankan penyelidikan dan pengukuran bagi melukis peta. Melalui penyelidikan tersebut, mereka telah menjumpai 15 buah pulau dan memberikan nama kepada setiap pulau serta memaklumkannya kepada seluruh dunia. Sejak itu, penamaan pulau-pulau di Laut China Selatan yang dijalankan oleh kerajaan China telah dilakukan sebanyak tiga kali. Pada tahun 1934 hingga 1935, Jawatankuasa Kajian Semula Peta Darat dan Laut kerajaan Republik China telah meluluskan nama semua pulau dan terumbu di Laut China Selatan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris serta menyiarkan sebanyak 132 nama pulau, terumbu, pasir dan pantai di kawasan perairan tersebut dalam majalah jawatankuasa itu yang diterbitkan buat julung-julung kali. Pada bulan April tahun yang sama, jawatankuasa itu sekali lagi menyiarkan Peta Pulau-pulau di Laut China Selatan yang membahagikan Laut China Selatan kepada empat gugusan pulau. Pada 1 Disember 1947, Kementerian Dalam Negeri kerajaan pada masa itu telah berbahas semula tentang 172 buah pulau di Laut China Selatan dan mengumumkan hasil perbahasan itu. Serentak dengan itu, Peta Kedudukan Pulau-pulau di Laut China Selatan diterbitkan, dengan menandakan Kepulauan Dongsha, Xisha, Zhongsha dan Nansha di Laut China Selatan. Pada April 1983, kerajaan China telah mengumumkan nama standard pulau-pulau di Laut China Selatan, antaranya termasuklah 287 nama.

Sekiranya diteliti dari perspektif undang-undang antarabangsa, China adalah negara yang paling awal menjumpai dan menamai pulau-pulau di Laut China Selatan, sekali gus memperoleh hak untuk menduduki dan menggunakan serta mentadbir pulau-pulau itu. Fakta sejarah yang tidak boleh didebatkan itu telah menunjukkan bahawa China adalah satu-satunya "tuan rumah" pulau-pulau di Laut China Selatan.

Nama-nama yang merujuk pada Kepulauan Nansha itu pernah digunakan oleh warga asing dalam sejarah. Misalnya, dalam buku Songhuiyao telah mencatat utusan dari Zhancheng (satu kawasan di selatan Vietnam sekarang) dan Zhenlifu (satu kawasan di wilayah Thailand sekarang) ketika menceritakan pelayaran mereka ke China telah menggunakan nama Shitang dan Wanli Shitang yang merujuk pada Kepulauan Nansha.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China