Keputusan terkini Pilihan Raya Presiden Filipina menyaksikan calon kontroversi Rodrigo Duterte menerima sokongan tertinggi jutaan pengundi apabila jauh meninggalkan empat calon lain bagi merebut jawatan nombor satu itu. Walaupun keputusan rasmi belum diumumkan Kongres, Datuk Bandar Davao itu mempunyai peluang cerah untuk menggantikan Presiden, Benigno Aquino III bagi memimpin Filipina.
Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada populariti dan seterusnya kemenangan besar Duterte dalam pilihan raya tersebut.
Rakyat Filipina menanti-nantikan seorang pemimpin yang tegas bagi menghuraikan banyak masalah dalam negeri yang sudah berakar umbi. Duterte berjaya melebarkan pengaruh berikutan kempen politiknya terus melaungkan ikrar yang berapi-api untuk membanteras jenayah dan kemiskinan secara besar-besaran, iaitu dua faktor yang dipercayai membawa kemunduran ekonomi Filipina.
Yang pasti, beliau berjaya memukau hati pengundi kerana mempunyai kemahiran luar biasa untuk bercerita dan bergurau. Oleh kerana pembawaan gaya itu, Duterte mendapat gelaran "Trump dari Timur", sebagai perbandingan kepada personaliti calon presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang sering mengeluarkan pandangan melampau.
Duterte secara tepat membaca perasaan para pengundi, lantas menjadikan isu "undang-undang dan ketenteraman awam" sebagai teras utama kempen beliau. Beliau berikrar untuk menamatkan jenayah dalam tempoh 6 bulan sahaja setelah menjadi Presiden.
Walaupun pemerintah presiden sekarang, iaitu Presiden Benigno Aquino berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi selama 6 tahun, tetapi ramai pengundi berasa mereka tidak mendapat sebarang limpahan daripada prestasi ekonomi yang baik itu. Duterte menyifatkan gaya pemerintahan Aquino sebagai angan-angan sama sekali dan dicemari rasuah. Di sinilah, beliau mengambil kesempatan dan berjanji akan menjadi sebaliknya, iaitu seorang Presiden yang tegas dan kuat.
Duterte dalam pada itu menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan China berhubung pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan, percubaan membaiki hubungan dengan Beijing berbanding pendekatan keras diamalkan oleh Presiden Aquino. Namun, di bawah pengaruh Amerika Syarikat dari segi ketenteraan dan politik, sama ada isyarat positif yang ditunjukkan beliau dapat kekal lama, masih tidak diketahui. Janji-janji yang diikrarkan beliau di hadapan penyokong semasa berkempen perlu direalisasikan dalam bentuk tindakan. Pretasinya akan mencorakkan masa depan Filipina.