Kaunselor Perdagangan Malaysia ke China, Puan Razida Razak diwawancara oleh pemberita CRI, Fadil.
Produk Malaysia yang setanding dengan produk-produk antarabangsa yang lain, malah lebih berdaya saing dari segi harga mempunyai prospek yang baik untuk menembusi pasaran China. Demikian dinyatakan Kaunselor Perdagangan Malaysia ke China, Puan Razida Razak dalam Expo Francais China (CFE) selama tiga hari yang dirasmikan di Beijing pada 9 Julai lalu.
Kata beliau, China tetap merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia, di samping itu, Malaysia merupakan rakan dagang kelapan terbesar bagi China dalam tempoh beberapa tahun yang lalu. Penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam ekspo kali ini diharapkan membantu meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang perdagangan, khususnya perniagaan francais.
Tambah beliau, China mempunyai potensi perdagangan amat besar yang boleh diterokai lagi oleh syarikat-syarikat Malaysia. Potensi ini bukan sahaja boleh didapati di bandar-bandar besar, tetapi juga wujud di bandar kecil dan sederhana di China.
Expo Francais China kali ini disertai oleh sebanyak 7 buah syarikat Malaysia yang mengusahakan perniagaan francais dalam sektor katering, minuman, penjagaan kesihatan dan pendidikan.