Beijing menyambut baik keputusan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menugaskan bekas Presiden, Fidel Valdez Ramos sebagai utusan khas untuk melakukan rundingan dengan kerajaan China mengenai isu Laut China Selatan.
Jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang dalam sidang media semalam mengulangi keazaman kerajaan untuk menangani masalah berkenaan secara baik menerusi dialog bilateral, dan menegaskan bahawa Beijing tidak pernah menutup pintu rundingan dengan Manila. Sekiranya pertikaian berkenaan dapat diselesaikan melalui rundingan yang damai, pastilah hubungan kedua-dua negara ini mempunyai masa hadapan yang amat cerah.
Mengenai kes timbang tara berkenaan, Lu Kang menekankan bahawa pendirian Beijing terhadap kes tersebut adalah konsisten, iaitu tidak mengiktiraf dan tidak menerima keputusan muktamad Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) di The Hague. Beliau berharap agar kedua-dua negara dapat mempertahankan konsensus yang tercapai dahulu dan menyelesaikan masalah berkenaan melalui dialog demi membaiki hubungan dua hala.