
Kekecohan dalam pertikaian wilayah maritim Laut China Selatan perlu diredakan, apatah lagi keputusan muktamad Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) di The Hague adalah tidak munasabah sama sekali.
Gesaan itu dibuat oleh Menteri Luar China, Wang Yi ketika bercakap dalam taklimat media selepas berakhirnya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-49 di Vientiane, Laos semalam.
Wang Yi menegaskan bahawa pertikaian berhubung dengan kedaulatan terhadap sesetengah pulau dan terumbu di Kepulauan Nansha bukan masalah antara China dengan ASEAN, malah hubungan kedua-dua pihak tidak boleh dibiarkan terus tercalar dengan masalah-masalah terperinci berkenaan.
Menurut beliau, ASEAN tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam kes timbang tara yang dibangkitkan secara sepihak oleh mantan Presiden Filipina, Benigno Aquino III, dan tidak memberi sebarang komen terhadap keputusan muktamad PCA kerana pertikaian antara Beijing dengan Manila hanya akan diselesaikan menerusi dialog bilateral secara damai.
Dimaklumkan, menteri-menteri luar dari ASEAN dan China semalam mengeluarkan kenyataan bersama bagi melaksanakan secara menyeluruh dan berkesan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).
Menurut kenyataan bersama tersebut, pertikaian hanya boleh diselesaikan oleh pihak-pihak terbabit melalui rundingan secara damai dan kestabilan di Laut China Selatan memerlukan sinergi antara China dengan negara-negara ASEAN. Inilah "pendekatan dwitrek" yang disyorkan dan diharapkan oleh pihak China.








