Kerajaan Australia menolak laporan siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat yang mendakwa juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah merancang simulasi laluan penerbangan melalui simulator di rumahnya, sama dengan laluan sebenar penerbangan pesawat berkenaan.
Majalah New York Jumaat lalu yang memetik dokumen rahsia FBI menunjukkan Zaharie merancang simulasi laluan yang sama dengan laluan yang dilalui oleh MH370, hanya beberapa minggu sebelum pesawat itu dilaporkan hilang.
Menurut dokumen rahsia daripada siasatan polis Malaysia berhubung dengan tragedi itu yang diperoleh majalah New York, FBI berjaya mendapatkan semula data yang telah dipadamkan daripada cakera padat dalam simulator penerbangan milik Zaharie.
Tambah dokumen itu, walaupun laluan itu adalah sama, namun titik akhir penerbangan simulasi tersebut terletak kira-kira 900 batu (1,450 kilometer) dari tempat MH370 dipercayai telah terhempas.
(sumber Utusan Malaysia)