Malaysia dan Indonesia akan memperoleh faedah dan kepentingan bersama hasil daripada hubungan ekonomi dan pelaburan dua hala yang semakin erat pada masa ini.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada 3 Ogos lalu.
Kedua-dua pihak sebulat suara bersetuju untuk terus memperkasakan kerjasama ekonomi antara satu sama lain.
Najib menyatakan bahawa kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia dalam sektor ekonomi dan perdagangan bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), malah membuka lebih banyak peluang dari segi eksport kedua-dua negara.
Dalam industri pemprosesan minyak kelapa sawit pula, Najib berkata, Malaysia dan Indonesia akan menjalankan penyelidikan tentang pengurusan pemasaran dengan menandatangani perjanjian kerjasama bagi memastikan produk minyak kepala sawit yang dieksport dari kedua-dua negara akan laris dijual di seluruh dunia.