Isu Laut China Selatan tidak akan menjejaskan kerjasama China-Filipina dalam bidang pelaburan, ekonomi dan perdagangan. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menghidupkan semula dengan secepat mungkin mekanisme Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan China-Filipina yang sudah berhenti selama lima tahun.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Perdagangan China, Gao Hucheng setelah bertemu dengan Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina, Ramon M. Lopez di Viantiane Laos semalam.
Gao Hucheng mengadakan pertemuan dengan Lopez dalam tempoh beliau menghadiri siri mesyuarat menteri-menteri ekonomi dan perdagangan kerjasama Asia Timur di Laos. Dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu, Gao Hucheng berkata, walaupun pertikaian Laut China Selatan merupakan isu yang lama wujud antara China dengan Filipina, namun masalah bersejarah ini bukanlah segalanya dalam hubungan kedua-dua negara. Beliau yakin kedua-dua negara berkemampuan untuk menangani masalah ini melalui rundingan dua hala dan mekanisme rundingan yang sedia ada antara China dengan ASEAN, dan tidak akan menjejaskan kerjasama China-Filipina dalam bidang pelaburan, ekonomi dan perdagangan.