Cari:
Rai Ulang Tahun Ke-25 Hubungan Dialog China-ASEAN
2016-08-29 12:03:43 CRI Cetak

Satu forum bertemakan "Persahabatan China-ASEAN Kekal Abadi" yang dianjurkan oleh Bank Bangkok di Thailand baru-baru ini diadakan untuk menyerikan lagi sambutan ulang tahun ke-25 terjalinnya ikatan mesra sejati antara China dengan ASEAN. Para hadirin berharap agar kedua-dua pihak dapat terus memperkasakan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, kesalinghubungan, dan lain-lain pada masa akan datang.

Kuasa Usaha Sementara China di Thailand, Wu Zhiwu menyifatkan pencapaian China-ASEAN dalam bidang ekonomi dan perdagangan sebagai amat memberangsangkan, selepas kawasan perdagangan negara membangun yang paling besar di dunia diwujudkan serta perjanjian berhubung penaiktarafan kawasan perdagangan bebas dimuktamadkan. Pada masa ini, China telah menjadi rakan dagang terbesar bagi ASEAN, manakala ASEAN adalah rakan dagang ketiga terbesar bagi China. Terdapat statistik yang menunjukkan, jumlah dagangan kedua-dua pihak bagi tahun lepas meningkat kepada USD472.1 bilion (MYR1.9 trilion) berbanding USD7.96 bilion (MYR32.18 bilion) yang dicatatkan pada 1991, manakala jumlah pelaburan dua hala pula bertambah sebanyak 300 kali ganda lebih dalam tempoh selama 25 tahun yang lalu, iaitu daripada USD500 juta (MYR2,021.36 juta) kepada USD156.4 bilion (MYR632.28 bilion).

Bekas Menteri Luar Thailand, Dr Tej Bunnag dalam ucapannya mengimbas kembali prestasi cemerlang yang diperoleh China dan ASEAN dalam bidang ekonomi, perdagangan dan kewangan semenjak 25 tahun yang lalu. Menurut beliau, kedua-dua pihak berupaya meletakkan asas yang kukuh dalam penjalinan kerjasama. Aktiviti memperingati ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN yang akan diadakan September depan dianggap lembaran baharu bagi kedua-dua pihak untuk memperkasakan kerjasama serta memelihara kestabilan dan kedamaian. Tej menganggap, kesalinghubungan dalam prasarana akan mengundang lebih banyak peluang kerjasama. Beliau mengharapkan inisiatif pembentukan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) yang disarankan China dapat dilaksanakan seawal mungkin, hingga mendatangkan manfaat kepada Asia Tenggara malah seluruh Asia.

Pengerusi Persatuan Persahabatan Malaysia-China (MCFA), Dato' Abdul Majid Ahmad Khan menyatakan bahawa forum tersebut diadakan tepat pada waktunya sempena sambutan ulang tahun ke-25 hubungan dialog China-ASEAN. Menurut beliau, biarpun masih ada sesetengah pertikaian mengenai isu politik atau keselamatan, namun kedua-dua pihak memiliki asas yang kukuh untuk menjayakan kerjasama dalam ekonomi, perdagangan dan sosiobudaya. Situasi yang makmur dan saling menguntungkan akan diwujudkan asalkan sahaja pertikaian tersebut ditangani menerusi pendekatan yang wajar.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China