Persidangan Panglong Abad Ke-21 yang dianggap sebagai pendekatan wajar untuk mewujudkan permuafakatan antara semua kaum di Myanmar dan mencapai kedamaian yang berkekalan di negara itu, membuka tirainya hari ini (31 Ogos). Persidangan tersebut bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah proses damai Myanmar.
Pada Februari 1947, Jeneral Aung San, pejuang kemerdekaan yang juga bapa kepada Aung San Suu Kyi, memeterai Perjanjian Panglong dengan pemimpin-pemimpin dari kaum Shan, Kachin dan Chin di pekan Panglong, utara negara itu, dengan tercapainya konsensus penting untuk menubuhkan Kesatuan Myanmar bagi menamatkan pemerintahan kolonial British. Peristiwa itu dikenali Persidangan Panglong 1947.
Namun, selepas Myanmar mencapai kemerdekaan, perselisihan kaum yang wujud semasa pemerintahan kolonial British menjadi semakin meruncing hingga mencetuskan perang saudara yang berpanjangan. Dalam tempoh lebih 60 tahun yang lalu, terdapat puluhan kumpulan etnik bersenjata yang berkonfrontasi dengan kerajaan pusat. Pertumpahan darah yang berlarutan berdekad-dekad lamanya menyebabkan pihak-pihak terbabit menyedari bahawa isu perkauman hanya dapat diselesaikan melalui rundingan damai, bukanlah kekerasan. Selepas mengambil alih pentadbiran negara, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang menjunjung prinsip toleransi dan inklusif telah mengamalkan dasar yang lebih fleksibel untuk mengundang semua kumpulan etnik bersenjata menyertai Persidangan Panglong.
Usaha mewujudkan permuafakatan antara kaum merupakan tugas utama kerajaan pimpinan NLD. Pada 11 Julai lalu, kerajaan menubuhkan Pusat Permuafakatan dan Perdamaian Nasional (NRPC) untuk menggariskan panduan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk kerajaan, parlimen, pasukan tentera, pertubuhan etnik minoriti dan kumpulan bersenjata etnik minoriti. Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi yang mengetuai NRPC telah kerap kali mengadakan perbincangan dengan pihak tentera dan kumpulan etnik bersenjata sebelum persidangan Panglong diadakan. Beliau berkali-kali menegaskan bahawa hanya dengan mencapai kedamaian yang berkekalan, negaranya barulah dapat mewujudkan pembangunan yang menyeluruh.
Persidangan Panglong yang diadakan pada 69 tahun yang lalu adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan negara, manakala yang diadakan sekali lagi pada zaman kini adalah untuk kedamaian. Biarpun kedua-duanya berlaku dengan latar belakang yang berlainan, tetapi memiliki tuntutan yang sama, iaitu kelompok etnik mahukan lebih banyak hak autonomi.
Walaupun proses damai Myanmar masih berdepan dengan onak dan duri, namun formula penyelesaian yang diterima semua pihak diyakini dapat diwujudkan melalui rundingan asalkan pihak-pihak terlibat bersedia duduk semeja. Hal ini juga selaras dengan kepentingan negara dan aspirasi seluruh rakyat.