Beijing menyambut baik keputusan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte untuk mengadakan lawatan ke China pada tahun ini.
Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying dalam sidang media semalam, selepas Duterte menyuarakan keinginan untuk melawat ke China baru-baru ini, dan berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang semasa siri persidangan pemimpin Asia Timur di Laos, minggu depan.
Hua berkata, China menanti-nantikan kunjungan Duterte kerana ikatan persahabatan yang telah terjalin antara Beijing dengan Manila sejak sekian lama selaras dengan kepentingan asas negara dan aspirasi rakyat kedua-dua pihak.
Hua juga menekankan peri pentingnya untuk menjalinkan komunikasi peringkat tinggi dalam menyemai perasaan saling mempercayai, di samping mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.