Hubungan yang akrab dan mesra antara Beijing dengan Jakarta diharap dapat diteruskan dan dikekalkan dari semasa ke semasa melalui sinergi dalam memupuk rasa saling mempercayai dalam politik, memperluas kerjasama pragmatik dan mengukuhkan lagi perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.
Harapan itu diluahkan Presiden China, Xi Jinping ketika ditemui rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo di Hangzhou, pesisir tenggara China, menjelang Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20), semalam.
Presiden Xi menyifatkan hubungan China-Indonesia ibarat jiran tetangga dan sahabat handai, yang memiliki kepentingan bersama yang amat luas, kerana telah memperoleh pencapaian yang memberangsangkan dalam pembangunan hubungan bilateral.
Beliau berharap agar kedua-dua negara dapat terus melaksanakan penyelarasan dalam penggabungan inisiatif Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 dengan visi Jokowi untuk membentuk Indonesia sebagai paksi maritim dunia, bertindak untuk merancakkan pelaksanaan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Jakarta dengan Bandung, serta memperkasakan kerjasama dalam prasarana, kapasiti pengeluaran, perdagangan, pelaburan, kewangan, e-dagang, dan lain-lain.
Dalam pada itu, Jokowi menyatakan sokongan padu terhadap China yang menjadi hos bagi Sidang Kemuncak G20 ke-11 ini, dan memuji perkongsian strategik komprehensif yang terjalin antara Indonesia dengan China dalam menyumbang kepada kedamaian dan keselamatan dunia.