Negara anggota ASEAN perlu bekerjasama ke arah pertumbuhan ekonomi secara bersepadu, meningkatkan kesalinghubungan, sekali gus mengurangkan jurang antara negara-negara Asia Tenggara menerusi pelbagai mekanisme termasuk Inisiatif Integrasi ASEAN (IAI).
Hasrat itu diluahkan Presiden Laos, Bounnhang Vorachith ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan Ke-29 serta sidang kemuncak berkaitan di Pusat Konvensyen Nasional di Vientiane, hari ini, yang diserikan dengan kehadiran sepuluh pemimpin negara anggota ASEAN.
Menurut beliau, ASEAN juga perlu memperkasakan kerjasama luaran dalam pelbagai bentuk hingga memberi lebih banyak manfaat kepada ASEAN.