Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto, yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 serta siri sidang kemuncak berkaitan di Pusat Konvensyen Nasional di Vientiane, Laos, semalam, akan mengutarakan topik perbincangan berhubung dengan sinergi membanteras kegiatan pengganas rentas sempadan.
Media Indonesia memetik kenyataan Wiranto sebagai berkata, huraian mengenai hasil yang dicapai semasa Mesyuarat Antarabangsa Menentang Keganasan (IMCT) di Nusa Dua, Bali, Indonesia pada Ogos lalu adalah antara topik utama pada sidang kemuncak kali ini.
Menurut beliau, keganasan dilihat sebagai musuh bersama bagi semua negara, dan Indonesia akan memainkan peranan penting dalam menjayakan kerjasama keselamatan antara ASEAN.
Demi memburu dan menentang sesiapa sahaja yang mahu mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan rantau, Indonesia berharap kawalan yang lebih ketat dapat dilaksanakan bagi mengintip gerak-geri pengganas di kawasan sempadan di negara-negara Asia Tenggara.
Wiranto juga menegaskan peri pentingnya kerjasama antarabangsa dalam pertukaran maklumat mengenai biodata pengganas, sekali gus berwaspada terhadap cubaan kumpulan ekstremis yang menyebarkan ideologi mereka melalui laman sosial.