ASEAN mestilah bersatu suara jika negara-negara anggota mahu melihat pertubuhan itu terus menjadi sebuah badan yang relevan, semakin berpengaruh dan tegas menegakkan peranannya.
Demikian dinyatakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada wartawan negara itu selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 di Vientiane, Laos, semalam.
Menurut beliau, penekanan kepada aspek kepusatan, kesatuan dan solidariti dalam ASEAN sangat penting kerana sebarang percanggahan akan melemahkan pertubuhan itu, sama ada dalam menyelesaikan pertikaian atau hubungannya dengan negara-negara kuasa besar.
Oleh hal yang demikian, ASEAN mesti konsisten dengan pandangan ASEAN, iaitu pertubuhan itu perlu patuh kepada peraturan, berpaksikan rakyat, dilihat sebagai organisasi kuasa besar yang bersahabat tetapi tegas mempertahankan prinsip-prinsip tertentu.
Tambah beliau, sekarang adalah masanya untuk ASEAN bergerak bagi mencapai perkara yang diputuskan dalam sidang kemuncak yang lalu di Kuala Lumpur, iaitu selepas dimasyhurkan sebagai Komuniti Ekonomi ASEAN.
Semasa upacara perasmian sidang kemuncak itu, Perakuan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 (MPAC 2025) yang akan memainkan peranan penting dalam mempergiatkan integrasi serantau, dilancarkan oleh sepuluh pemimpin negara ASEAN.
(sumber Utusan Malaysia)