China dan ASEAN komited untuk menyuntik tenaga baharu kepada jalinan kerjasama dua hala dan melipatgandakan usaha dalam membina Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN melalui pelbagai langkah seperti mengeratkan komunikasi strategik, mempercepat pelaksanaan "Rangka Kerjasama 2+7" dan merancakkan kegiatan pertukaran dalam kalangan rakyat.
Demikian dinyatakan Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika menghadiri majlis sambutan genap 25 tahun terjalinnya hubungan dialog antara China dengan ASEAN di Pusat Konvensyen Nasional, Vientiane, Laos, pagi tadi.
PM Li berkata, semenjak terjalinnya hubungan dialog pada tahun 1991, China dan ASEAN sentiasa mengutamakan misi pembangunan dan kerjasama, menjunjung prinsip hormat-menghormati dan saling memahami, percaya-mempercayai dan memberikan sokong padu antara satu sama lain, serta menyumbang kepada kedamaian, kestabilan dan kemakmuran rantau.
Dalam tempoh 25 tahun yang lalu, rasa saling mempercayai dalam bidang politik semakin kukuh, manakala kerjasama pragmatik kedua-dua pihak juga membuahkan hasil yang cukup membanggakan.
Keqiang berpendapat, ASEAN sentiasa memainkan peranan penting dalam memelihara keamanan dan kestabilan serantau, serta menggerakkan proses integrasi serantau dan pelbagai polarisasi dunia.
Beliau mengulangi lagi pendirian konsisten Beijing, iaitu ASEAN terus diutamakan dalam diplomasi China yang akan terus memberikan sokongan padu kepada pembinaan Komuniti ASEAN, mendukung kepusatan ASEAN dalam menjayakan kerjasama rantau serta peranan utama pertubuhan itu dalam hal ehwal antarabangsa.
Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin negara Asia Tenggara turut menghargai pencapaian cemerlang ASEAN dan China sejak 25 tahun yang lalu.
Mereka yakin akan prospek hubungan kedua-dua pihak pada masa hadapan, dan menyifatkan majlis sambutan genap 25 tahun itu sebagai besar maknanya bagi Sidang Pemimpin China-ASEAN (10+1) ke-19.