Seminar mengenai pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 telah diadakan di Jakarta, Indonesia semalam. Antara fokus perbincangan dalam seminar tersebut termasuklah cabaran yang dihadapi negara ASEAN dalam melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kerjasama pragmatik China-ASEAN dalam mewujudkan pembangunan mampan.
Semasa berucap dalam seminar itu, Duta Besar China ke ASEAN, Xu Bu berkata, pembangunan mampan kini menjadi fokus global.
Kerajaan China telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menjayakan usaha tersebut dari segi penyelarasan strategi, jaminan mekanisme, pertukaran di peringkat antarabangsa dan kerjasama Selatan-Selatan.
Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Vongthep Arthakaivalvatee pula berkata, negara-negara ASEAN dan China lengkap-melengkapi dalam kesalinghubungan dan pembinaan infrastruktur.
ASEAN mengalu-alukan jalinan kerjasama yang lebih kukuh dengan China dan PBB bagi melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan 2030, seterusnya mendorong kemakmuran serantau.