Cari:
Indonesia Mahu Perkasa Kerjasama Pelancongan dengan Malaysia
2016-09-24 14:52:26 CRI Cetak
Indonesia mahu memperkasakan kerjasama pelancongan selam skuba antara republik itu dengan Malaysia bagi membolehkan pelancong mendapat peluang percutian lebih menarik di rantau ini.

Ketua Unit Program Pengenalan Pelancongan bagi Asia Tenggara, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia, Andriyatna Rubenta berkata, pihaknya tidak mahu melihat Malaysia sebagai saingan namun lebih kepada rakan strategik yang mampu memperkasakan sektor pelancongan terutama selam skuba di rantau ini.

Malah kata beliau, dengan kerjasama antara kedua-dua negara itu, pelancong mempunyai lebih banyak pilihan meneroka keindahan alam marin dan lokasi selam skuba yang ditawarkan.

"Kami tidak mahu 'bermusuh' dengan Malaysia dan lebih baik kerjasama strategik diadakan bagi membolehkan lebih banyak pilihan lokasi pelancongan.

"Sebagai contoh, kita tahu ramai pelancong dari China menjadikan Kota Kinabalu (Sabah) sebagai lokasi pilihan untuk selam skuba manakala kami pula menerima kehadiran ramai penyelam skuba Eropah.

"Dengan adanya kerjasama strategik antara kedua-dua negara itu kelak, kita boleh mencadangkan kepada para pelancong China dan Eropah ini untuk bertukar-tukar destinasi antara Malaysia dan Indonesia bagi memperoleh satu percutian yang menakjubkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas majlis penutup program pengenalan destinasi selam skuba ke Taman Nasional Komodo di sini semalam.

Yang turut hadir Perunding Pembangunan dan Pengurusan Ekopelancongan Marin Kementerian Pelancongan Republik Indonesia, Cipto Aji Gunawan.

----utusan

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China