Cari:
Pembangunan Mampan, Matlamat Bersama China dan ASEAN
2016-09-27 13:12:49 CRI Cetak

Simposium mengenai Pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 diadakan di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini, yang diserikan dengan kehadiran Duta Besar China ke ASEAN, Xu Bu, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Vongthep Arthakaivalvatee, dan Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Xu Haoliang, yang juga Ketua Pengarah Biro Kawasan Asia Pasifik Program Pembangunan PBB (UNDP).

Mengenai perkaitan antara inisiatif "Jalur dan Laluan (B&R)" dengan pembangunan mampan di Asia Tenggara, ketiga-tiga pegawai kanan tersebut masing-masing membentangkan pandangan mereka. Xu Bu menghuraikan ASEAN sentiasa diambil kira apabila Beijing melipatgandakan usaha gigih untuk menjayakan inisiatif B&R itu. China dilihat sebagai rakan kerjasama utama kepada negara anggota ASEAN, kerana Beijing menerapkan pembangunan mampan ke dalam dasar negara manakala Asia Tenggara menjadikan pembangunan mampan sebagai matlamat penting dalam proses penyepaduan ASEAN. Semenjak diumumkannya Kenyataan Bersama mengenai Pembangunan Mampan pada Oktober 2010, China dan ASEAN membuahkan hasil kerjasama yang memuaskan dalam pembasmian kemiskinan, perlindungan alam sekitar, integrasi rantau, perubahan iklim, pengurusan bencana dan lain-lain. Vongthep pula berpendapat, pembangunan mampan sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang terbuka dan inklusif. Usaha menggerakkan inisiatif "B&R" berteraskan kepada kesalinghubungan, yang betul sepertimana dikehendaki oleh negara anggota ASEAN. Selain itu, Xu Haoliang juga menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai sumbangan penting China dalam menggalakkan pembangunan dunia. Tiga aspek yang diutamakan dalam inisiatif tersebut, antaranya kesalinghubungan, pelaburan dalam prasarana dan kegiatan pertukaran dalam kalangan rakyat, memang besar maknanya dalam usaha mewujudkan pembangunan mampan.

Apabila menyebut tentang bagaimana menyepadukan inisiatif "B&R" dengan strategi pembangunan mampan negara-negara Asia Tenggara, Xu Bu menganggap, beberapa strategi seperti inisiatif "B&R", Kerangka Kerjasama "2+7" China-ASEAN, Visi Komuniti ASEAN 2025 dan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 (MPAC 2025) perlu disepadukan supaya kerjasama pragmatik antara kedua-dua pihak dapat diperkasakan hingga mengundang lebih banyak manfaat. Vongthep menyatakan bahawa pembangunan mampan adalah matlamat penting Visi Komuniti ASEAN 2025, malah inti sari usaha merakyatkan Komuniti ASEAN. Oleh hal yang demikian, visi tersebut mempunyai kaitan rapat dengan pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030. Anggota negara ASEAN dan negara-negara lain di sepanjang "B&R" perlu menyelaraskan tindakan dalam menggalakkan pembangunan mampan.

Xu Haoliang menyifatkan kerjasama trilateral antara PBB, China dengan ASEAN sebagai contoh baik Kerjasama Selatan-Selatan. Pihak-pihak terbabit diharap dapat menimba pengalaman daripada pelaksanaan Matlamat Pembangunan Milenium supaya menyumbang kepada Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang menfokuskan kepada bidang pembasmian kemiskinan, pembaikan sistem pendidikan dan rawatan perubatan serta penyelesaian isu ketidakadilan. Xu berjanji bahawa UNDP akan terus memperkasakan kerjasama dengan China dan ASEAN, di samping bertindak menjamin semua negara dapat menikmati situasi yang saling menguntungkan menerusi tindakan menerima pakai inisiatif "B&R" yang diharap dijadikan rujukan dalam strategi pembangunan masing-masing.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China