Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengisytiharkan latihan ketenteraan bersama antara tentera Filipina dengan Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan adalah yang terakhir antara kedua-dua negara sekutu rapat berkenaan.
Berucap di hadapan komuniti Filipina di sebuah hotel di Hanoi ketika melakukan rangka lawatan dua hari ke Vietnam, kelmarin, Duterte memberi notis bagi memberitahu AS bahawa ini adalah latihan ketenteraan bersama yang terakhir berikutan keengganan Beijing untuk melihat berulangnya latihan seumpama itu. Walau bagaimanapun, beliau mendakwa, Manila akan mengekalkan hubungan ketenteraan dengan Washington kerana ia termaktub dalam Perjanjian Pertahanan Bersama AS-Filipina yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada 1951, dan sementara itu, negaranya pun tidak akan ketinggalan dalam mewujudkan perdagangan baharu dan persepakatan komersial dengan China dan Russia. Selain itu, Duterte juga berjanji bahawa rondaan bersama oleh tentera Filipina dan AS di Laut China Selatan tidak akan diteruskan lagi kerana Manila tidak mahu meningkatkan lagi ketegangan di wilayah maritim berkenaan.
Dikatakan, Latihan Pendaratan Amfibi Filipina-AS (Phiblex) yang dijadualkan berlangsung bermula 4 hingga 12 Oktober depan di Filipina merupakan yang pertama semenjak Duterte menyandang jawatan pemimpin nombor satu negara berkenaan pada hujung bulan Jun lalu.
Bagaimanapun, Penolong Hal Ehwal Keselamatan Negara Filipina berkata, latihan ketenteraan bersama yang dipersetujui oleh pentadbiran terdahulu akan diteruskan hingga 2017. Menurutnya, selepas 2017, barulah kedua-dua negara menilai semula sama ada perlu untuk meneruskan lagi latihan ketenteraan berkenaan. Apa yang dimaksudkan Duterte adalah beliau melihat tidak perlu lagi latihan ketenteraan bersama antara kedua-dua negara yang diadakan dalam tempoh tahun ini.
Seorang pakar dari Akademi Sains dan Sosial China, Yang Danzhi berpendapat, Duterte bersifat lebih emosional ketika mengeluarkan kata-kata yang pedas sebagai tindak balas terhadap campur tangan AS dalam urusan dalaman negara itu. Apa yang dikatakannya untuk menamatkan latihan ketenteraan dengan AS hanya sekadarkan membawa tekanan baharu dan menyinggung sekutunya. Menurut Yang, pemimpin celopar mulut itu mustahil mengeluarkan diri daripada mekanisme kerjasama pertahanan yang diwujudkan Filipina-AS sejak sekian lama, sebaliknya latihan ketenteraan bersama berkenaan akan diteruskan lagi. Biarpun Duterte menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membaik pulih hubungan dengan China, namun tekanan dalaman dan luaran menyebabkan beliau teragak-agak ketika mengamalkan dasar luar bagi mengekalkan dan mengukuhkan hubungan dengan Beijing. Inilah kerana beliau mahukan lebih banyak manfaat daripada hasil kerjasama ekonomi dengan China, di samping mengehendaki perlindungan AS dari segi politik dan keselamatan.