Cari:
Raja Thailand Mangkat
2016-10-14 15:18:59 CRI Cetak

Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, pemerintah monarki paling lama bertakhta di dunia, mangkat di Hospital Siriraj di Bangkok, semalam, demikian diumumkan oleh Istana Thailand.

Pihak Istana dalam satu kenyataan mengumumkan, baginda, yang memimpin Thailand selama 70 tahun sejak menaiki takhta pada 1946, telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.52 petang semalam ketika berusia 89 tahun.

Sementara itu, kenyataan Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan, bendera Thailand di semua bangunan kerajaan serta sekolah dikibarkan separuh tiang selama 30 hari bermula hari ini.

Tempoh berkabung untuk penjawat awam dan semua petugas agensi kerajaan ditetapkan selama setahun mulai 14 Oktober ini.

Kenyataan itu juga menyebut tempoh berkabung bagi rakyat biasa terpulang kepada pertimbangan dan budi bicara masing-masing.

Sejurus selepas berita kemangkatan itu disahkan, rasa sedih menyelubungi seluruh negara dengan rakyat menangis sambil memegang erat gambar raja kesayangan mereka.

Malam tadi, Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha berkata, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, 63 tahun, akan menunggu masa yang sesuai untuk ditabalkan sebagai Raja Thailand yang baharu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China