Hab Kemahiran Johor, yang dibangunkan untuk meningkatkan bidang latihan teknikal dan vokasional, dapat memenuhi keperluan pembangunan negeri dan mencapai aspirasi kerajaan Persekutuan Malaysia untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika bakat dan kemahiran anak muda tidak dilatih, beliau bimbang peluang pekerjaan yang ada di negara itu akan hanya diisi pekerja asing.
Katanya, perancangan kampus induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) untuk mengambil 20 ribu pelajar pada masa akan datang, akan menyumbang tenaga kerja untuk negara.
Timbalan Perdana Menteri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pembangunan Hab Kemahiran Johor di KYPJ, Kota Tinggi.
Hab Kemahiran Johor atau dikenali sebagai Skills Johor bakal dibina di kawasan seluas 40 hektar berdekatan Kampus Induk KYPJ, dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional. Hab bernilai 107 juta ringgit itu, yang dilengkapi kemudahan asas, berupaya menampung sehingga 20 ribu pelatih tempatan dan antarabangsa apabila ia siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
--RTM