Cari:
Najib tiba di China
2016-10-31 15:06:10 CRI Cetak

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Beijing hari ini untuk lawatan rasmi enam hari ke China dengan matlamat mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang lama terjalin antara kedua-dua negara.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing di sini pada 12.30 tengah hari. Najib dan Rosmah disambut Naib Menteri Hal Ehwal Luar China, Liu Zhen Min dan Duta Besar Malaysia di China, Datuk Zainuddin Yahya serta isteri, Datin Fairos Ishak.

Lawatan atas jemputan Perdana Menteri China, Li Keqiang itu merupakan yang ketiga oleh Najib sejak 2009. Sebelum ini, Perdana Menteri melakukan lawatan kerja ke China pada Mac lepas bagi menghadiri Forum Boao bagi Asia (BFA) di Hainan.

Khamis ini, Najib akan mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping diikuti majlis makan malam yang dihoskan oleh Jinping dan isteri, Peng Liyuan sebagai penghormatan kepada Najib dan Rosmah Mansor, di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.

Najib yang juga Menteri Kewangan dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Keqiang pada Selasa selepas menghadiri majlis sambutan rasmi di Great Hall of the People. Najib dan Keqiang akan menyaksikan lebih 10 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua kerajaan dalam bidang pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan, diikuti majlis makan malam yang dihoskan Keqiang bagi meraikan Najib.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat China (NPC) Zhang Dejiang akan membuat kunjungan hormat ke atas Najib.

Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama perniagaan China dan menyaksikan lebih 10 perjanjian antara syarikat Malaysia dan China, antaranya berkaitan pelaburan dalam pembinaan pelabuhan, pemasangan paip gas dan loji penyahgaraman air, e-dagang, pembuatan panel solar, pembinaan, pelaburan, pembangunan dan kewangan.

Najib juga akan menyampaikan ucap tama pada jamuan tengah hari Forum Perniagaan Malaysia-China yang akan dihadiri lebih 400 ahli perniagaan dari China dan Malaysia.

Pada Jumaat pula, Perdana Menteri akan melancarkan Pavilion Pelancongan Malaysia mengenai Alitrip, yang merupakan satu platform e-dagang bagi memudahkan pelancong, terutama pelancong dari China, mempelajari lebih lanjut mengenai destinasi pelancongan di Malaysia.

Najib juga dijadual melawat Taman Perindustrian Baharu Gu'an di Wilayah Hebei dan akan menaiki kereta api berkelajuan tinggi dari Beijing ke Tianjin, selain mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di China.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, manakala Malaysia merupakan rakan dagang kelapan terbesar China serta rakan dagang terbesar dalam kalangan 10 negara ASEAN. Data yang dikeluarkan China menunjukkan bahawa jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dengan China tahun lepas berjumlah RM408.4 bilion dan pada Ogos tahun ini, dagangan berjumlah RM227.9 bilion.

Sumber dari BERNAMA

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China