Cari:
Lawatan Najib Dijangka Buahkan Hasil Melimpah Ruah
2016-11-01 14:33:28 CRI Cetak

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan membawa matlamat mengukuhkan lagi hubungan akrab antara Malaysia dengan China yang sudah wujud sejak sekian lama, tiba di Beijing, Isnin lalu untuk memulakan lawatan rasmi enam hari yang dijangka membuahkan kerjasama dalam pelbagai bidang dan pelaksanaan projek-projek ekonomi dan prasarana, bisnes dan eksport bernilai berbilion ringgit antara kedua-dua negara.

Lawatan atas undangan rakan sejawatnya Li Keqiang itu, merupakan yang ketiga oleh Najib sejak 2009. Sebelum ini, beliau melakukan lawatan kerja ke China pada Mac lepas bagi menghadiri Forum Boao bagi Asia (BFA) di Hainan.

Antara yang menjadi tumpuan dalam lawatan PM itu ke China ialah majlis pemeteraian perjanjian persefahaman mengenai projek Kereta Api Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL) yang akan dibina awal tahun depan dengan menggunakan kepakaran dan pembiayaan yang kompetitif daripada China.

Najib berkata, projek itu sangat penting kepada Malaysia, dan tidak boleh ditangguhkan memandangkan ia bukan sahaja merangsang pembangunan industri pengangkutan negara, malah membantu mempercepat pertumbuhan bandar-bandar kecil di sepanjang laluan.

Projek landasan kereta api ECRL sepanjang 600 kilometer itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke negeri Terengganu serta Tumpat di Kelantan. Apabila siap menjelang 2022, projek yang dianggarkan bernilai RM55 bilion itu akan menjadi pemangkin ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan sebahagian timur laut Johor.

PM itu juga dijadual merasai sendiri pengalaman menaiki Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Beijing ke Tianjin sebelum duduk bersama pemimpin China bagi membincangkan projek pembinaan HSR Malaysia-Singapura yang tawaran pembidaannya akan dibuka tahun depan.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, manakala Malaysia adalah rakan dagang kelapan terbesar China serta rakan dagang kedua terbesar dalam kalangan sepuluh negara ASEAN. Data yang dikeluarkan China menunjukkan bahawa jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dengan China bagi tahun lepas mencatat US$97.3 bilion (RM408.4 bilion) dan pada Ogos tahun ini, dagangan berjumlah US$54.3 bilion (RM227.9 bilion). Untuk meneruskan prestasi baik ini, Najib akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama perniagaan China dan menyaksikan lebih 10 perjanjian antara syarikat Malaysia dengan China, antaranya berkaitan pelaburan dalam pembinaan pelabuhan, pemasangan paip gas dan loji penyahgaraman air, e-dagang, pembuatan panel solar, pembinaan, pelaburan, kewangan dan lain-lain, selain membantu Malaysia untuk kembali melonjakkan eksport komoditi kelapa sawit, biodiesel dan getah ke pasaran China.

Jalinan kerjasama kedua-dua negara bukan hanya tertumpu dalam aspek ekonomi, prasarana, pelaburan,perdagangan dan lain-lain, tetapi kini sudahpun melibatkan bidang pertahanan dan keselamatan.

Malaysia akan membeli 18 buah Kapal Tempur Pesisir (LMS) buatan China untuk menggantikan armada kapal perangnya yang sudah tua sempena kunjungan Najib ke Beijing, menurut catatan Facebook Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Selasa lalu.

LMS merupakan kapal peronda berkelajuan tinggi yang boleh dilengkapkan dengan dek helikopter dan peluru berpandu. Lazimnya digunakan untuk keselamatan pantai, rondaan maritim dan pengawasan, tetapi boleh juga dikerah untuk bantuan bencana dan operasi mencari dan menyelamat.

Kementerian Pertahanan Malaysia akan menandatangani kontrak pemerolehan LMS dengan Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan Negara China (SASTIND) pada 5 November nanti.

Pembelian kapal peronda itu, sekiranya dijayakan, akan menjadi pembelian pertahanan terbesar Malaysia daripada China, sekali gus memperlihatkan kesalingpercayaan yang cukup kukuh antara kedua-dua negara.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran
Dengar Dalam Talian

• PM Li Sampaikan Laporan Kerja Kerjaan dalam NPC

• Sungai Khalkhyn
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China