Cari:
China Prihatin terhadap Situasi di Utara Myanmar
2016-11-21 15:22:39 CRI Cetak

Pertempuran sengit yang berlaku antara tentera kerajaan Myanmar dengan pemberontak etnik minoriti di kawasan bersempadan dengan China, Ahad lalu, memaksa sebahagian penduduk tempatan Myanmar melarikan diri ke provinsi Yunnan China. Beijing turut meluahkan rasa bimbang terhadap pertempuran yang mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang terkorban manakala beberapa lagi tercedera, di samping berharap agar pihak-pihak yang bertelagah supaya bertenang dan mengelak keadaan daripada menjadi lebih buruk serta kembali ke meja rundingan.

Dilaporkan, pertempuran yang tercetus antara sesetengah kumpulan pemberontak dengan tentera kerajaan di negeri Shan, utara Myanmar yang bersempadan dengan Ruili, provinsi Yunnan China berlarutan selama kira-kira tiga jam, mengakibatkan seorang rakyat jelata terbunuh dan beberapa lagi tercedera, selain sebuah jambatan dimusnahkan dan beberapa buah lori rosak teruk. Jalan utama yang menuju ke Zon Dagangan Sempadan Muse juga ditutup buat sementera waktu.

Pertempuran itu telah menjejaskan usaha kerajaan Myanmar untuk menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan pelbagai pemberontak etnik minoriti yang berjuang untuk membentuk kerajaan sendiri sejak puluhah tahun lalu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang dalam sidang media di Beijing semalam menyuarakan harapan agar pihak-pihak yang terbabit dapat bersikap tenang, menghentikan operasi ketenteraan dan mengelak ketegangan semakin memuncak. Menurut beliau, China sentiasa menaruh perhatian terhadap situasi di kasawan sempadan kedua-dua negara, dan menyeru supaya rundingan dan dialog yang melibatkan pihak-pihak berkenaan dapat dipulihkan bagi menggerakkan proses perdamaian di Myanmar.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan China berkata, tentera China mengikuti rapat perkembangan terkini situasi politik di Myanmar dan siap siaga menghadapi sebarang ancaman yang bakal menjejaskan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.

Selain itu, Kedutaan Besar China di Myanmar dalam kenyataan semalam berkata, kerajaan provinsi Yunnan telah menyediakan tempat perlindungan sementara kepada pelarian Myanmar.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China