Cari:
Punca Utama Pertempuran di Utara Myanmar
2016-11-22 14:02:34 CRI Cetak

Pertempuran sengit yang tercetus antara tentera kerajaan Myanmar dengan sesetengah kumpulan pemberontak etnik minoriti di bahagian utara negara itu sejak Ahad lalu bukan sahaja mencemari usaha gigih kerajaan Myanmar untuk menggerakkan proses perdamaian, malah memberikan impak yang negatif terhadap kestabilan dan pembangunan di kawasan sempadan Myanmar-China.

Dilaporkan, sesetengah kumpulan etnik bersenjata antaranya termasuk Kachin, Ta'ang, Kokang dan Rakhine menyerang beberapa pos tentera dan polis secara serentak mulai tengah malam 20 November lalu, yang mengakibatkan seorang askar, tiga orang pegawai polis, seorang anggota militia pro kerajaan dan tiga orang rakyat jelata terkorban. Serangan yang dilancarkan oleh pakatan pemberontak di bahagian utara Myanmar kali ini merupakan kali pertama dan skopnya yang paling besar sejak Februari tahun lepas dan menjadikan krisis di Myanmar semakin parah sekali gus memberikan cabaran kepada pemerintahan diketuai Aung San Suu Kyi sejak beliau mengambil kuasa tujuh bulan lepas.

Usaha mewujudkan permuafakatan antara semua kaum merupakan tugas utama kerajaan pimpinan Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD). Selepas mengambil alih pentadbiran negara, NLD yang menjunjung prinsip toleransi dan inklusif mengamalkan dasar yang lebih fleksibel untuk menjemput semua kumpulan pemberontak etnik minoriti menyertai Persidangan Panglong Abad ke-21 pada hujung Ogos lalu. Walau bagaimanapun, sikap keras pihak tentera Myanmar menyebabkan ketiadaan kelompok Ta'ang, Kokang dan Rakhine pada persidangan yang dianggap bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah proses perdamaian negara itu. Sejak itulah, situasi di bahagian utara makin meruncing.

Sebenarnya, semua kumpulan pemberontak tidak menolak proses perdamaian, namun enggan menerima prasyarat yang dikemukakan pihak tentera, iaitu meletak senjata terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan menyertai proses perdamaian berkenaan. Perselisihan yang timbul sejak itu merupakan punca utama tercetusnya pertempuran antara kedua-dua pihak. Pada Oktober lepas, siri serangan yang dilancarkan kumpulan pemberontak terhadap tentera kerajaan di negeri Rakhine menyebabkan kira-kira separuh kawasan di negeri itu disekat dan dikawal oleh pasukan tentera.

Menurut penganalisis, pertumpahan darah yang berlarutan berdekad-dekad lamanya membuktikan bahawa isu perkauman hanya dapat diselesaikan melalui rundingan damai, bukanlah kekerasan. Walaupun proses perdamaian Myanmar masih berdepan dengan onak dan duri, namun formula penyelesaian yang diterima semua diyakini dapat diwujudkan melalui rundingan asalkan pihak-pihak terlibat bersedia untuk duduk semeja. Hal ini juga selaras dengan kepentingan negara dan aspirasi seluruh rakyat.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China