Eksesais Aman Youyi 2016 yang disertai bersama-sama Tentera Pembebasan Rakyat(PLA) China dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka tirainya di Selangor, Malaysia, 22 November lalu, dengan melibatkan kira-kira 300 orang peserta antaranya 195 daripada PLA.
Eksesais selama empat hari itu membolehkan tentera kedua-dua negara mempertingkatkan pertukaran maklumat dan menguji tahap kerjasama di samping berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam melaksanakan operasi bantuan kemanusiaan, sekali gus menjanjikan prospek yang amat cerah dalam kerjasama ketenteraan.
Panglima Angkatan Tentera China, Jeneral Fang Fenghui dalam ucapannya pada majlis Pembukaan Eksesais Aman Youyi menyifatkan eksesais kali ini sebagai usaha melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, dan mekanisme penting bagi memperkasakan kerjasama dua hala dalam ketenteraan serta pendekatan utama untuk meningkatkan kemampuan bertempur. Menurut beliau, selain menjadi platform yang berkesan dalam menyelaraskan operasi, kerjasama seperti Eksesais Aman Youyi ini merupakan inisiatif yang memperlihatkan komitmen dan iltizam China-Malaysia dalam menghadapi ancaman bersama dan mengatasi kesukaran.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dalam ucapannya menyatakan bahawa eksesais tersebut menekankan tunjang aktiviti di rantau ini, iaitu misi bantuan kemanusiaan dan bencana alam(HADR) bagi membuat persediaan dalam menghadapi bencana yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.
Menurut beliau, rantau Asia Pasifik mengalami kira-kira 160 bencana alam pada tahun lalu yang mengakibatkan kematian lebih 16,000 orang dengan kerugian dianggarkan menjangkau kira-kira RM199 bilion. Dalam kebanyakan bencana alam, angkatan tentera merupakan pihak yang akan diaturgerakkan sebagai responden pertama, dan oleh itu, eksesais kali ini mengguna pakai HADR sebagai latar belakang aktivitinya.
Zulkifeli turut berkata, eksesais itu merupakan platform yang amat berkesan dalam memperkasakan keakraban dan membina keyakinan lebih tinggi antara ATM dan PLA. Kerjasama seumpama itu dapat mempertingkatkan semangat kemanusiaan sejagat, sekali gus menjadikan eksesais berkenaan sebagai satu kerjasama yang benar-benar multilateral.
Difahamkan, eksesais kali ini dilaksanakan secara latihan kakitangan(STAFFEX) dan demonstrasi membabitkan survival hutan, jejak tempur dan tempur tanpa senjata oleh ATM, manakala PLA membuat demonstrasi "close quarter shooting" dan tempur tanpa senjata.