Sidang khas Dewan Perundangan Kebangsaan (NLA) Thailand semalam memperakui Putera Mahkota, Maha Vajiralongkorn untuk menaiki takhta sebagai raja Thailand yang baharu.
Presiden NLA, Pornpetch Witchitcholchai yang mempengerusikan sidang khas itu berkata, NLA akan memohon untuk menghadap Putera Mahkota berkenaan bagi menjemput baginda secara rasmi untuk menaiki takhta. Putera Mahkota itu akan menggantikan ayahanda baginda, Raja Bhumibol Adulyadej, yang mangkat pada 13 Oktober lepas sekiranya baginda menerima jemputan NLA untuk menaiki takhta.
Mengikut prosedur seperti yang termaktub dalam perlembagaan Thailand, Kabinet akan meminta Parlimen menawarkan kepada Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn untuk menjadi raja. Baginda perlu menerima tawaran tersebut sebelum diisytiharkan sebagai raja baharu.
Pelawaan untuk menabalkan Putera Mahkota sebagai pengganti raja sedikit sebanyak meredakan kebimbangan orang ramai yang menyangka proses penggantian mungkin tidak seperti yang dirancangkan.
Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, berkata bulan lalu, Putera Mahkota meminta untuk menunda upacara pertabalan kerana ingin berkabung bersama rakyat jelata.
Putera Mahkota, Maha Vajiralongkorn, 64, adalah satu-satunya putera Raja Bhumibol dan Ratu Sirikit, dan dinamakan sebagai pewaris takhta pada 28 Disember 1972 ketika berusia 19 tahun. Berkhidmat sebagai pegawai dalam Tentera Diraja Thailand sejak 1975, baginda mendapat pendidikan awal di Thailand sebelum melanjutkan pengajian di United Kingdom dan Australia. Seorang juruterbang bersijil, baginda juga mampu menerbangkan jet pejuang dan pesawat pengangkutan.
Keluarga Diraja Thai dianggap sebagai tunggak kemantapan di sebalik beberapa pergolakan politik sejak beberapa dekad lalu, dan juga menjalin ikatan yang mesra dengan kerajaan China. Putera Mahkota berkenaan pernah melakukan kunjungan sebanyak empat kali ke China pada 1987, 1988, 1992 dan 1998 melibatkan bandar-bandar seperti Beijing, Shanghai dan Nanjing.
Terdahulu, Perdana Menteri, Prayut Chan-ocha dan anggota kabinetnya serta panglima angkatan tentera dan Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) mengadakan mensyuarat khas sejam untuk mengemukakan nama Putera Mahkota berkenaan kepada NLA. Menjawab soalan media selepas mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwon berkata, upacara menghadap Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn berkemungkinan diadakan hari ini atau esok.