Cari:
Myanmar, Singapura Kukuh Ikatan Ekonomi
2016-12-02 14:30:07 CRI Cetak

Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi melakukan lawatan rasmi ke Singapura mulai 30 November hingga 2 Disember, atas undangan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Ini adalah lawatan rasmi yang pertama bagi Suu Kyi. Kali terakhir beliau berada di republik itu adalah pada 2013 semasa beliau menjadi pemimpin Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD).

Rangka lawatan selama tiga hari Suu Kyi menyaksikan sambutan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik Myanmar-Singapura pada 2016, sekali gus dilakukan sempena program pengecualian visa antara kedua-dua negara ini yang berkuat kuasa 1 Disember, seperti yang termaktub di dalam perjanjian yang dimeterai semasa PM Lee mengadakan lawatan ke Myanmar pada bulan Jun lepas.

Ketika berlangsungnya majlis rasmi yang dihoskan PM Lee untuk menyambut kunjungan Suu Kyi pada petang 30 November lalu, kedua-dua pemimpin tersebut sepakat untuk memulakan perbincangan mengenai perjanjian pelaburan dua hala dan mengemaskinikan perjanjian berkaitan pengecualian cukai, selain memperkasakan kerjasama dalam bidang pengangkutan awam dan sumber tenaga.

Pada 2015, Myanmar merupakan rakan niaga ke-28 terbesar Singapura, dengan jumlah perdagangan keseluruhannya mencecah USD 2.5 bilion (RM11.15 bilion), manakala, Singapura pula adalah rakan dagang ketiga terbesar Myanmar, selepas China dan Thailand. Setakat hujung Oktober lepas, Singapura merupakan pelabur kedua terbesar di Myanmar dengan pelaburan kumulatif mencecah USD15.6 bilion (RM69.55 bilion), diikuti China bernilai USD18.5 bilion (RM82.48 bilion).

Ketika bercakap pada majlis sambutan berkenaan, Suu Kyi menyatakan bahawa biarpun Myanmar dan Singapura mempunyai keadaan negara yang berlainan, tetapi kedua-dua negara boleh hidup bersama secara aman dan harmoni hingga menjadi rakan kongsi yang akrab.

Beliau juga tidak berahsia kepada hakikat bahawa Myanmar sedang menghadapi banyak cabaran. Namun, negara itu tidak takut dengan cabaran-cabaran tersebut kerana ia mempunyai rakan-rakan yang mampu menghulurkan bantuan untuk menghuraikannya.

Semasa lawatan rasminya kali ini, Suu Kyi akan diberi taklimat Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura, dibawa mengunjungi pusat penjaja dan sejenis bunga orkid akan dinamakan sempena lawatan beliau di Kebun Bunga Singapura.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China