China menyokong dasar antidadah yang dilaksanakan Presiden Rodrigo Duterte dan bersedia terus memberi bantuan semampu boleh kepada Filipina dalam usaha tersebut.
Demikian dikatakan oleh jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying dalam sidang media semalam.
Pejabat Presiden Filipina dalam kenyataan pada Isnin lalu mengumumkan bahawa Manila dan Beijing telah mencapai persepakatan mengenai kerjasama dalam usaha pengawalan dadah semasa lawatan Presiden Duterte ke China dua bulan lepas. Perbuatan menyalahkan China kerana masalah dadah di Filipina adalah tidak adil.
Sehubungan dengan itu, Hua berkata, China memahami langkah-langkah yang diperkenalkan kerajaan Filipina untuk membanteras jenayah dadah.
Dalam pada itu, badan penguatkuasa kedua-dua negara sedang giat menjalankan kerjasama dalam perkongsian maklumat, penambahbaikan kelengkapan dan teknologi berkenaan serta operasi memerangi dadah. Kerjasama tersebut diyakini dapat membuahkan hasil.