China sentiasa mengutamakan ASEAN dalam hubungan diplomatik dengan negara-negara jiran, dan menyokong Filipina melaksanakan tugas sebagai negara pengerusi bergilir ASEAN tahun ini, sekali gus meningkatkan hubungan China-ASEAN ke tahap baharu.
Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang dalam sidang akhbar di Beijing semalam.
Tahun 2017 merupakan ulang tahun ke-50 tertubuhnya ASEAN dan Tahun Kerjasama Pelancongan China-ASEAN.
Geng Shuang menyatakan bahawa dalam sidang kemuncak sambutan ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN yang diadakan di Ventiane, Laos pada September lalu, Perdana Menteri China, Li Keqiang dan pemimpin 10 negara ASEAN bersepakat untuk menaiktarafkan hubungan China-ASEAN.
Kini, penaiktarafan tersebut berdepan dengan peluang yang baik.
Menurut beliau, China bersedia untuk bersama-sama ASEAN untuk terus meningkatkan komunikasi di peringkat dasar, menyelaraskan strategi dan kerjasama pragmatik, mempergiat kerjasama secara menyeluruh dalam bidang ekonomi, perdagangan, kesalinghubungan, kapasiti pengeluaran dan lain-lain, melaksanakan pelan tindakan lima tahun ke-3, menggalakkan penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) mencapai hasil yang memuaskan.
Pada masa yang sama, China dan ASEAN juga akan berusaha menjayakan Tahun Kerjasama Pelancongan, menjadikan kerjasama sosiobudaya sebagai tonggak baharu dalam hubungan China-ASEAN, di samping menyuntik daya penggerak baharu kepada kerjasama China-ASEAN.