Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan bahawa pihaknya belum menemukan enam mangsa bot karam di Pulau Mengalum, negeri Sabah, Sabtu lalu, antaranya termasuklah seorang kru dan lima pelancong warga China.
Menurut APMM, kawasan pencarian diperluas lebih 1,500 batu nautika persegi berbanding 400 batu nautika persegi sebelumnya, termasuk di perairan negara jiran, Brunei, yang turut mengerahkan helikopter dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Dalam pada itu, pihak polis Sabah memaklumkan seorang tekong dan dua kru bot pelancong jenis Catamaran itu telah ditahan semalam untuk siasatan lanjut atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun media sosialnya menggesa agar siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian bot yang membawa 28 pelancong China dan tiga kru karam di perairan Sabah.
Sehubungan dengan itu, Kedutaan Besar China di Malaysia menegaskan bahawa buat masa ini tumpuan sepenuhnya harus diberikan kepada usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.