Cari:
Najib Lawat Alibaba di China
2017-05-12 12:18:30 Agensi Berita Xinhua China Cetak


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak memulakan lawatan kerja ke China dengan melawat ke ibu pejabat Alibaba di Hangzhou, provinsi Zhejiang, yang turut dikenali Taman Xixi pagi ini. Perdana Menteri disambut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma. 

Turut serta Ketua Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood dan Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng. Perdana Menteri membuat lawatan berkenaan atas jemputan Ma yang juga Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan Malaysia.
 
Dalam catatan di laman Facebook, Najib berkata, beliau kagum dengan pencapaian Alibaba. 

"Mereka nampak masa depan dan pantas melaksanakan perdagangan cara baharu dalam abad ke-21 ini. 

"Dalam tempoh hanya 13 tahun jumlah transaksi mereka telah mencecah 3 trilion yuan atau hampir RM1.9 trilion.
 
Najib yang tiba pada pukul 6.20 pagi telah disambut Naib Gabenor, Liang Liming dan Duta China ke Malaysia, Huang Hui Kang. 

Najib juga dijadualkan menerima kunjungan hormat Setiausaha Parti Komunis China di Provinsi Zhejiang, Che Jun dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara MDEC dengan Hangzhou Municipal Government dan Alibaba Company Ltd..
 
Pada sebelah petang Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan berlepas ke Beijing untuk menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (B&R).

Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang.


(sumber daripada Berita Harian Online Malaysia)

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China