Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menafikan dakwaan cuai dalam program pembelian beras semasa memberi keterangan di Mahkamah Tertinggi semalam, sambil menyatakan dirinya "mangsa permainan politik".
Mahkamah Tertinggi sekali lagi menolak permohonan Yingluck untuk membawa kes kepada Mahkamah Perlembagaan, dan kekal dengan keputusan untuk mengadakan perbicaraan pada 26 Ogos nanti.
Yingluck dalam keterangannya menyatakan bahawa dasar pembelian beras yang dilaksanakan dahulu bukanlah projek pelaburan untuk keuntungan, sebaliknya program kebajikan yang dilaksanakan menurut undang-undang. Program itu telah meningkatkan pendapatan kaum tani dan membantu ekonomi negara menerusi kutipan cukai.
Menurut Yingluck, penilaian agensi kerajaan dan institusi bertauliah telah membuktikan bahawa program tersebut tidak mengakibatkan kerugian kepada negara sebagaimana yang dinyatakan oleh pendakwa.
Yingluck turut menafikan dakwaan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan kegiatan rasuah.