Tentera China akan terus memperkasakan pertukaran muhibah dan kerjasama pragmatik dengan tentera negara-negara lain termasuk di Asia Pasifik.
Usaha itu diharap membantu meningkatkan persefahaman dan rasa saling mempercayai, serta mengukuhkan mekanisme kerjasama dialog keselamatan pelbagai hala demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
Demikian ujar jurucakap Kementerian Pertahanan China, Ren Guoqiang dalam sidang media di Beijing semalam.
Atas undangan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, Menteri Pertahanan China, Chang Wanquan melawat ke Filipina untuk menghadiri pertemuan tidak rasmi menteri-menteri pertahanan ASEAN (ADMM)dengan China serta dengan rakan dialog (ADMM-Plus) pada 23 hingga 25 Oktober lalu.
Dalam tempoh lawatan itu, Chang telah memperkenalkan konsep dan pemikiran baharu diplomasi yang dikemukakan oleh Presiden Xi Jinping, serta saranan China mengenai kerjasama keselamatan serantau.
Ren memaklumkan bahawa China dan ASEAN telah mencapai konsensus peringkat awal untuk mengadakan rundingan teknikal pada tahun ini, dan kemungkinan latihan ketenteraan bersama diadakan pada waktu sesuai berdasarkan hasil rundingan tersebut.