Cari:
Monorel Melaka Bakal Beroperasi Semula
2017-11-21 09:54:28 CRI Cetak

Perkhidmatan Monorel Melaka di tebing Sungai Melaka yang terbengkalai sejak 2013 akibat masalah teknikal dijangka beroperasi semula dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, bagaimanapun operasinya tertakluk kepada penyiapan kerja-kerja sampingan yang dilaksanakan oleh pihak yang diberi tanggungjawab.

Menurutnya, monorel berke­naan sudah dibaiki dan akan dibuka kepada orang ramai apabila mendapat pengesahan daripada pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan kenderaan tersebut.

"Saya difahamkan ketika ini masih menunggu maklum balas daripada jurutera, ketua jurutera Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi mengesahkan monorel itu selamat untuk dinaiki orang ramai.

"Diharapkan sebaik perkhidmatan ini memulakan operasinya, ia akan lebih memberi kemudahan dan keselesaan kepada pe­ngunjung tempatan mahupun asing terutama menikmati keindahan di persisir Sungai Melaka," katanya.

Idris memberitahu, perkhidmatan yang memiliki landasan sepanjang 1.6 kilome­ter itu sememangnya dinantikan masyarakat dan ia akan menambahkan lagi produk pelancongan di Melaka, sekali gus menarik minat orang ramai untuk datang ke negeri ini.

Katanya, setelah sekian lama monorel terbabit tidak beroperasi, akhirnya kenderaan tersebut mampu untuk menjadi produk pelancongan negeri ini semula.

Perkhidmatan Monorel Melaka sebelum ini dirasmikan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada 20 Oktober 2010 sempena hari pengisytiharan Melaka Maju 2010.

Bagaimanapun, selepas setahun beroperasi perkhidmatan itu tergendala susulan dua penumpang yang juga pelancong dari Britain terkandas pada 1 November 2011.

Pada 25 Disember 2013 pula, tiga pelancong dari Australia terpaksa dibawa turun menggunakan kren dari ketinggian lebih lima meter selepas perkhidmatan monorel itu secara tiba-tiba berhenti di tengah perjalanan.

sumber dan gambar: Utusan

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China