Menurut statistik Kementerian Perdagangan China, jumlah perdagangan China dengan ASEAN mencatat USD514.8 bilion pada tahun 2017, meningkat 13.8% berbanding dengan tahun 2016, sekali gus mencatatkan peningkatan yang paling tinggi dalam sejarah.
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan China-ASEAN (CABC), Xu Ningning menyatakan bahawa pada tahun 2017, jumlah eksport China ke ASEAN mencecah USD279.1 bilion, meningkat 9%; manakala jumlah import China dari ASEAN mencatat USD235.7 bilion, meningkat 20%.
Vietnam, Malaysia dan Thailand menduduki tiga tangga teratas dalam jumlah perdagangan dengan China.
Dalam pada itu, peningkatan perdagangan China-ASEAN menunjukkan trend peningkatan kerjasama ekonomi kedua-dua pihak. Kedua-dua pihak akan terus mengintensifkan kesalinghubungan, mempergiat kerjasama perindustrian, melaksanakan kenaiktarafan kawasan perdagangan bebas China-ASEAN (CAFTA) dan kerjasama Lancang-Mekong (LMC), mempergiat kerjasama dalam pelbagai bidang bagi mengeratkan lagi perkembangan hubungan dua hala pada tahun ini.