China mengekalkan jalan pembangunan secara damai dan sentiasa mengutamakan hubungan dengan ASEAN dalam dasar luarnya. China bersedia menjadi jiran dan rakan kerjasama ASEAN berdasarkan prinsip "ringan sama dijinjing, berat sama dipikul".
Demikian dinyatakan oleh ahli Dewan Negara China yang juga Menteri Pertahanan, Chang Wanquan pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan China-ASEAN ke-8 di Singapura petang kelmarin.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Chang Wanquan dan Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Singapura, negara pengerusi bergilir ASEAN.
Menurut Chang, berdasarkan persepakatan yang dicapai oleh Presiden China, Xi Jinping dan pemimpin negara-negara ASEAN, jabatan pertahanan kedua-dua pihak telah mengetepikan percanggahan, meningkatkan rasa saling mempercayai dan saling memahami, menggalakkan komunikasi dan kerjasama, serta menyumbang kepada kedamaian dan kestabilan serantau, bertepatan dengan aliran sezaman.
Tambah beliau, hubungan China-ASEAN telah memasuki era baharu. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-15 terjalinnya Perkongsian Strategik antara kedua-dua pihak.
China bersedia bergabung tenaga dengan ASEAN untuk memperkukuh keyakinan dan mengenal pasti teras kerjasama antara satu sama lain, di samping menjalankan latihan bersama di laut serta kerjasama antikeganasan, agar memberi sumbangan yang lebih besar ke arah komuniti berkongsi nasib yang lebih erat.
Ng Eng Hen dan pemimpin jabatan pertahanan negara-negara ASEAN menilai tinggi cadangan Presiden Xi mengenai Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN, sambil memuji komitmen China menempuh jalan pembangunan secara damai.
Mereka turut menyatakan kesediaan untuk memanfaatkan peluang sempena ulang tahun ke-15 Perkongsian Strategik China-ASEAN untuk memperkukuh hubungan dengan China, meningkatkan kerjasama pertahanan, memperdalam persahabatan serta semangat kejiranan baik dan rasa saling mempercayai dalam bidang politik demi kedamaian, pembangunan dan kemakmuran serantau.