Cari:
Sultan Johor Titah Minta Semua Rakyat Bersatu
2018-02-17 15:07:09 CRI Cetak

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah meminta semua rakyat terus bersatu sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Titah baginda, semua rakyat perlu bersatu tanpa mengira bangsa jika mahu Johor terus maju.

"Bersatulah semua rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India, semua bangsa Johor bersatulah kalau nak maju, kalau kita berpecah maka mundurlah Johor.

"Kepada semua masyarakat Cina, selamat maju jaya pada tahun baharu ini," titah baginda ringkas selepas berkenan mengunjungi rumah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong sempena Tahun Baharu Cina, di Taman Setia Tropika semalam.

Sultan Ibrahim, yang diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, tiba di rumah Siew Kiong kira-kira jam 10.15 pagi.

Turut berangkat, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan menantu baginda, Dennis Muhammad Abdullah.

Ketibaan keluarga diraja itu disambut dengan tarian singa dan diiringi paluan gendang sebelum baginda bergambar kenangan bersama keluarga Siew Kiong.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menulis seni kaligrafi di atas kertas sambil diperhatikan keluarga Diraja Johor sebelum bersantap dengan keluarga Siew Kiong.

—Berita Harian

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China