Myanmar perlu meneladani pengalaman China membasmi kemiskinan di kawasan desa, ujar Nay Chi Zar Wai, pegawai dari Jabatan Pembangunan Desa di bawah Kementerian Penternakan, Pertanian dan Pengairan Myanmar.
Saranan itu dibuat dalam satu temu bual sempena program interaksi ASEAN+3 ke-6 selama seminggu di Xishuangbanna, provinsi Yunnan China baru-baru ini.
Program interaksi kali ini melibatkan pegawai kerajaan, ketua kampung, pakar dan sarjana dari 9 negara anggota ASEAN serta China dan Korea Selatan.
Pegawai Myanmar itu telah menjalankan tinjauan dan penyelidikan selama dua hari dengan menumpukan kampung Hebian di kaunti Mengla, Yunnan.
Tinjauan beliau mendapati kampung tersebut mempromosikan budaya etnik Yao kepada dunia luar sebagai sumber pelancongan, langkah yang bukan sahaja menjana pembangunan budaya kelompok etnik itu sendiri, malah membantu melepaskan penduduk kampung daripada kemiskinan.
Langkah serupa boleh diambil oleh Myanmar untuk memajukan sektor pelancongan desa negaranya.
Tambah pegawai Myanmar itu, China akan menghantar pakar dari Pusat Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa ke kampung Min Pyin dan Aye Chan Thar dalam masa tiga tahun akan datang.
Mereka akan membantu penduduk tempatan membina rumah, jalan, jambatan dan sekolah, serta memberi latihan vokasional supaya membantu membangunkan industri penternakan dan penanaman.