Durian Segar Malaysia Mula Dijual di China

2024-08-26 17:14:00  CRI
Share with:

 

Durian segar Malaysia dijual di China bermula hari ini. Berita baik ini diumumkan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhammad di Beijing pagi tadi.

 

“Ini merupakan hasil pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) pada 19 Jun lalu, juga sebagai salah satu cara menyambut ulang tahun ke-50 ikatan diplomatik kedua-dua negara”.

 

Datuk Norman Muhamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Program “Taste of Malaysia” 2024 di Beijing pada Isnin.

 

Tambahnya lagi, sejak termeterainya ikatan diplomatik antara Malaysia dan China pada Mei 1974, hubungan kedua-dua negara semakin diperkukuh melalui lawatan peringkat tinggi, kerjasama dua hala dan pertukaran lawatan dalam kalangan rakyat.

 

Malah hubungan dua hala yang semakin baik serta rasa saling mempercayai juga menggalakkan aktiviti perdagangan dua hala yang dinamik.

 

“Sejak tahun 2009, China menjadi rakan dagang terbesar bagi Malaysia. Selain itu, China juga pasaran pengeksportan produk pertanian kedua terbesar bagi Malaysia, nilai pengeksportan ke China mencecah RM20 bilion pada tahun 2023,” kata beliau.

 

Difahamkan, kumpulan pertama durian segar Malaysia yang dieksport ke China selamat tiba di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, pada Ahad. Ia adalah sebahagian daripada fasa pertama penghantaran raja buah itu yang membabitkan 40 tan metrik buah durian pelbagai jenis, termasuk Musang King, D24, IOI dan Black Thorn.

 

Selain durian segar, Program “Taste of Malaysia” 2024 yang berlangsung selama 10 hari di bandar raya Beijing akan memaparkan produk-produk istimewa dari Malaysia termasuk pelbagai jenis produk durian seperti aiskrim, kopi, sup Tom Yam dan sebagainya.