
Patung askar dan kuda "terra-cotta" di makam Maharaja Qinshihuang ini ditemukan pertama kali pada tahun 1974. Petani di sebuah desa di bandar Xi'an, provinsi Shaanxi China menemukan banyak serpihan patung terra-cotta ini ketika mereka menggali perigi. Penemuan itu telah menarik kumpulan ahli arkeologi ke sana. Kemudian, kumpulan tersebut telah menjumpai 3 buah patung askar dan kuda yang besar yang tidak pernah dilihat di dunia. Oleh sebab lubang tempat patung itu dijumpai terletak dekat dengan makam Maharaja Qinshihuang, maka patung-patung itu dianggap sebagai tentera penting yang menjaga makam tersebut.
Maharaja Qinshihuang ialah raja yang terkenal dan juga maharaja pertama dinasti yang bersatu di China. Bagindalah yang pertama menyatukan China dan mendirikan dinasti China yang bersatu yang pertama dalam sejarah China, iaitu Dinasti Qin (tahun 221-206 sebelum masehi). Qinshihuang ialah raja yang kejam; baginda memaksa puluhan ribu rakyat membina dua projek yang terkenal, iaitu Tembok Besar dan Makam Maharaja Qinshihuang.
Namun, selama lebih 2000 tahun, keadaan dalam makam Maharaja Qinshihuang ini terus menjadi misteri. Maka, penemuan patung askar dan kuda baru-baru ini, mungkin akan memberikan kunci kepada kita untuk membongkar misteri itu.
Antara 3 buah lubang atau ruang di dalam tanah yang dijumpai setakat ini, lubang No.1 adalah yang terbesar, yang Luasnya lebih daripada 14,000 meter persegi dan lebih 1000 buah patung telah dikeluarkan. Dijangka masih ada 5000 buah lagi patung dalam ruang ini. Liu Gucheng, ketua kumpulan ahli arkeologi di situ memaklumkan bahawa, asalnya, patung-patung tersebut hampir kesemuanya berwarna-warni. Namun sekarang yang kita lihat itu biasanya kelabu, kerana patung-patung itu pernah terbakar. Katanya,"Keadaan patung-patung ini sangat buruk, kerana ruang lubang No.1 ini pernah mengalami kebakaran yang teruk. Jadi, patung yang berwarna jarang sekali dilihat di sini. Sama ada kita berjaya menemukan patung yang berwarna atau tidak dalam penggalian kali ke-3 pada tahun ini sukar dijangka."


Selepas penggalian kali kedua, China dan Jerman telah mengadakan kerjasama untuk melindungi cat di permukaan patung tanah liat ini. Teknologi ini telah pun disahkan dan teknologi yang lebih canggih untuk memulihkan patung juga telah diperoleh. Oleh itu, Jabatan Artifak Negara telah mengizinkan penggalian kali ke-3 terhadap kawasan seluas 200 meter persegi dalam ruang lubang No.1.
Encik Rong Bo bertanggungjawab terhadap kerja melindungi lukisan di permukaan patung. Dia dan pasukannya akan segera melaksanakan kerja untuk melindungi lukisan dan cat di permukaan patung yang baru ditemukan. Kata beliau,"Kami akan datang enam bulan sekali untuk memeriksa struktur dalaman dan bentuk luar patung untuk mengenal pasti sama ada keadaannya stabil atau tidak."
Berkait dengan penggalian yang baru ini, orang amat berminat untuk mengetahui sama ada patung hulubalang dapat ditemukan atau tidak di ruang lubang No.1 ini. Dapatlah dibongkar misteri makam Maharaja Qinshihuang ini.
Dalam penggalian kali ini, pekerja bernasib baik kerana menjumpai patung yang berwarna. Pakar arkeologi merasakan di sini mungkin ada satu himpunan patung berwarna. Selain itu, mereka juga menjumpai 2 buah kereta kuda perang dengan patung 4 ekor kuda. Ini yang tidak pernah ditemukan dalam sejarah arkeologi.
Menurut jangkaan mereka, mungkin terdapat 150 buah patung berwarna dalam kawasan seluas 200 meter persegi yang digali kali ini. Liu Gucheng menyatakan,"Patung hulubalang yang diharapkan oleh kebanyakan orang mungkin tidak akan dijumpai di sini. Patung hulubalang pula, saya jangka mungkin ada, tetapi tidak dapat dipastikan adakah ia tersimpan dalam kawasan yang seluas 200 meter persegi ini."
Penggalian kali ini akan berlangsung hingga penghujung tahun ini. Menurut rancangannya, dalam masa 5 tahun yang akan datang, kawasan seluas lebih 2000 meter persegi lagi akan digali di ruang lubang No.1. Diharapkan beberapa misteri yang sudah lama membingungkan kita boleh dibongkar pada masa itu.








