
Dalam arena sastera China, Mo Yan merupakan seorang penulis yang mempunyai keperibadian yang istimewa. Penulis yang berasal dari keluarga petani ini mempunyai perasaan yang mendalam terhadap kampung halamannya. Beberapa tahun kebelakangan ini, karya beliau selalu berkait rapat dengan kampung halamannya, iaitu sebuah desa yang sederhana di kawasan pergunungan di kaunti Gaomi provinsi Shandong.
Kampung halaman dalam karya Mo Yan merupakan "tempat yang paling indah dan paling buruk, serta tempat yang paling murni dan paling kasar". Kisah dalam kebanyakan ceritanya berlaku di "Pekan Timur Laut Gaomi" yang dikhayalkannya. Beliau menggabungkan bayangan beliau dalam kehidupan, menggunakan kaedah penggubahan yang melucukan, menambahnya dengan perasaan dan pengalaman beliau yang istimewa, dan mencipta sebuah ruang ajaib yang merentas dunia moden dan tradisi.
Dalam karyanya, Mo Yan menjadikan pekan timur laut Gaomi sebagai miniatur masyarakat seluruh China.
"Dalam tanggapan saya, Pekan Timur Laut Gaomi ini amat luas seperti dunia dalam cerita pari-pari. Pekan ini dalam cerita saya, saya gambarkan dengan menggunakan banyak unsur, dan ia dibayangkan serta dibangunkan menjadi ruang ketiga."
Mo Yan dilahirkan dalam keluarga petani yang biasa di kaunti Gaomi, provinsi Shandong pada tahun 1955. Petani di kawasan desa China pada masa itu, bukan sahaja menderita kemiskinan, malah mengalami kesukaran untuk mendapatkan makanan. Kelaparan memberikan kesan yang paling besar kepada Mo Yan dalam zaman kanak-kanaknya, sehinggakan, pada masa ini pun beliau akan mencium-cium bau makanan yang sedap ketika membeli-belah di pasar raya.
Walau bagaimana pun, kesukaran dalam hidupnya juga memberikan kesan yang penting terhadap kerjaya Mo Yan dalam bidang sastera. Dalam kebanyakan karyanya, cerita yang dikisahkan oleh beliau adalah tentang susah payah hidupnya, tetapi dikisahkannya dengan penulisan yang lucu. Bagi beliau, kelucuan beliau sentiasa mengandungi air mata.
"Pada zaman itu, tiada siapa pun yang dapat melihat masa depan dan jalan keluar. Dalamn keadaan itu, kelucuan merupakan cara yang membolehkan orang ramai terus hidup, meringankan tekanan dan menyenangkan hati. Oleh itu, kelucuan dapat dilahirkan dalam kepahitan hidup yang melampau."
Zaman itu bukan sahaja melahirkan sikap pesimis dan putus asa, malah juga membawa harapan kepada beliau. Harapan itu datangnya daripada ibunya.
Ramai pengulas berpendapat bahawa karya Mo Yan merupakan penghargaannya terhadap wanita. Walaupun watak wanita dalam cerita beliau mempunyai peribadi yang berbeza-beza, namun, mereka semua tabah menghadapi hidup, walaupun terpaksa bergelut dengan kesukaran.
Bagi Mo Yan, inspirasi untuk mencipta watak tersebut datang daripada ibunya yang berhati mulia dan tidak mementingkan diri pada zaman yang amat sukar itu.
"Ramai pembaca, termasuk pengkritik dari barat yang bertanya kenapa wanita disanjung tinggi dalam karya saya. Jawapan saya adalah wanita boleh tahan menghadapi semua dan juga dapat mencipta semua. Ketika menghadapi cabaran yang besar atau perkara yang berbahaya, sikap wanita, iaitu ibu dan nenek saya lebih tabah daripada bapa dan datuk saya."
Pada tahun 1976, Mo Yan meninggalkan kampung halamannya dan menjadi anggota tentera. Bermula dari masa itulah, Gaomi memenuhi ingatan beliau lalu dijadikannya simbol cerita nukilannya. Selepas itu, Mo Yan menerbitkan beberapa banyak cerita pendek dan sederhana dengan pengalaman dan pemerhatiannya dalam hidup pada zaman remaja. Karyanya yang bertajuk "Betari Merah" disadur oleh Pengarah Zhang Yimou menjadi filem dengan tajuk yang sama. Ini menjadikan Mo Yan popular di seluruh dunia.
Sekarang, karya Mo Yan yang penting telah diterjemahkan ke dalam beberapa banyak bahasa asing. Beliau juga dipelawa untuk menyertai pameran buku dan forum antarabangsa yang berkenaan.
Mo Yan telah tinggal di bandar sekian lama, namun, beliau sering juga pulang ke kampung halamannya. Walaupun tidak ada betari merah di sana, dalam hatinya, Mo Yan tidak pernah meninggalkan Pekan Timur Luat Gaomi.








