Biasanya, manusia tidak akan mencederakan diri sendiri. Namun, "Taktik Cederakan Diri dengan Sengaja" tidak mengikut kelaziman itu. Untuk suatu niat yang tersembunyi atau kepentingan strategik jangka panjang, seseorang akan memperdayakan dan memusnahkan musuh dengan cara menyeksa diri sendiri sehingga memperoleh kemenangan.
Pada Zaman Chunqiu, iaitu kira-kira 2,000 tahun yang lalu, seorang bangsawan yang bernama He Lu telah membunuh Raja Negeri Wu, Liao dan merampas kuasa daripadanya. Sejak itu, Raja He Lu sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan pengeluaran dan mengambil pegawai-pegawai yang bijak untuk mentadbir negeri. Dengan yang demikian, kekuatan Negeri Wu kian bertambah. Walau bagaimanapun, He Lu tetap bimbang bahawa anak lelaki Liao, Qing Ji, akan membalas dendam terhadap rampasan kuasa yang dilakukannya. Sesungguhnya, Qing Ji memang sedang merancang untuk menumpaskan Raja He Lu.
Untuk menghilangkan kebimbangan itu, He Lu memerintahkan pegawainya, Wu Zixu supaya membunuh Qing Ji. Wu Zixu pula mecadangkan supaya tugas itu dilaksanakan oleh seorang perwira yang pintar, namanya Yao Li.
Ketika melihat perwira itu, He Lu berkata: "Kamu pendek lagi kurus, bagaimana membunuh Qing Ji yang tinggi lagi kuat?"
"Ini bergantung kepada bakat saya", kata Yao Li, "Jika saya dapat mendekatinya, semua masalah akan selesai."
"Qing Ji amat berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenalinya. Bagaimana kamu hendak mendekatinya?"
"Saya akan meminta Raja memotong lengan saya dan membunuh isteri saya. Dengan demikian, Qing Jin akan percaya pada saya."
Raja He Lu tidak mahu menerima cadangan itu. Yao Li menambah, "Saya bersedia mengorbankan nyawa saya untuk tanah air." Akhirnya, He Lu bersetuju menggunakan strategi tersebut.
Tidak lama kemudian, khabar angin tentang He Lu yang membunuh raja dan merampas kuasa itu tersebar di seluruh negeri Wu. He Lu menyuruh pegawainya menyiasat perkara ini. Baginda diberitahu bahawa khabar angin itu disebarkan oleh seorang penduduk yang bernama Yao Li. Jadi, Yao Li dan isterinya telah ditangkap. Ketika ditemui Raja He Lu, dia mencaci dan memaki baginda. He Lu amat marah, lalu memotong lengannya dan meletakkan isterinya ke dalam penjara. Beberapa hari kemudian, khabar angin tentang Yao Li yang melarikan diri dan isterinya terbunuh tersebar di seluruh negeri, malah hingga ke negeri jirannya.
Sebenarnya, Yao Li melarikan diri ke tempat Qing Ji dan menceritakan pengalaman yang pahit itu kepada beliau. Beberapa lama kemudian, dia berjaya menjadi pengiring Qing Ji, dan selalu mengemukakan cadangan tentang bagaimana menumpaskan Negeri Wu dan mendapatkan semula kuasa pemerintahan kepada beliau. Akhirnya, Qing Ji mengambil cadangannya dan memimpin pasukan untuk menumpaskan negeri itu. Dalam perjalanan itu, Yao Li telah menikam dada Qing Ji dengan lembing.
Sebenarnya, kesemua usaha tersebut dirancang oleh pegawai Wu Zixu. Disebabkan Qing Ji amat berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali, maka Wu Zixu menggunakan "Taktik Cederakan Diri dengan Sengaja". Walaupun Yao Li dan isterinya terkorban, tetapi kebimbangan Raja He Lu dapat dihapuskan, dan ini amat berfaedah demi mengurus negeri dengan baik.
Taktik itu bukanlah semata-mata digunakan untuk merampas kuasa, malah digunakan dalam perang pengintip antara pelbagai negara sekarang. Biasanya, manusia bersimpati dengan orang yang tercedera, maka kecederaan yang disengajakan boleh memperdayakan pihak lawan.