36 Taktik Peperangan merupakan sebuah buku yang di dalamnya terkandung 36 taktik peperangan yang diguna pakai pada zaman purba di China dan diwarisi sehingga hari ini. Taktik-taktik peperangan yang terkandung di dalam buku itu telah diguna pakai di China dalam jangka masa yang panjang dan telah menjadi inti pati kebudayaan tradisi China. Pada masa ini, "36 Taktik Peperangan" telah disesuaikan untuk strategi dalam pelbagai bidang, antaranya termasuklah politik, diplomasi, ilmu-ilmu pengurusan, perdagangan dan lain-lain.
"36 Taktik Peperangan" tidak ada banyak kandungan yang menjelaskan tentang teori peperangan, sebaliknya lebih tertumpu kepada penggunaan praktikal strategi peperangan.
"36 Taktik Peperangan" merupakan rumusan hasil fikiran ahli ketenteraan yang terunggul pada zaman purba China. Setiap taktik mempunyai tujuan yang jelas dan bersifat praktikal. Kebanyakan taktik tersebut lebih mementingkan perubahan yang tidak dijangka ketika bertempur dengan musuh. 36 Taktik Peperangan diketahui oleh umum melalui pelbagai cara. Ada taktik diberi judul opera, peribahasa atau peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah China. Oleh sedemikian, orang ramai lebih mudah untuk memahami teori dan ilmu ketenteraan yang terkandung di dalam buku itu.
Taktik "Mengambil Kesempatan Sewaktu Musuh dalam Kepenatan" banyak diguna pakai dalam pertempuran dengan cara mengelakkan bertempur langsung dengan musuh yang bersemangat tinggi dan menjadikan mereka menggunakan tenaga secara sia-sia sambil mengumpulkan dan menghematkan tenaga sendiri. Tunggulah sehingga saat musuh telah penat dan bingung, baru menyerangnya secara mendadak. Dengan begitu, anda pasti akan dapat mengalahkan musuh dengan senang sahaja. Taktik tersebut amat berguna bagi pihak yang lebih lemah semasa bertempur dengan musuh yang lebih perkasa.
Ahli ketenteraan zaman purba China berpendapat, kelemahan dan kelebihan boleh saling berubah menjadi perkara sebaliknya. Ini seperti 24 jam sehari yang terdiri daripada siang dan malam, jika siang menjadi panjang, malam akan menjadi pendek secara relevan. Jika malam menjadi panjang, maka siangnya pula akan menjadi pendek.
Dalam keadan apabila kekuatan antara kedua-dua pihak yang sedang bertempur tidak berubah, jika kekuatan pihak musuh berubah menjadi lemah, maka kekuatan sendiri akan menjadi kuat secara relevan.
Terdapat banyak ahli ketenteraan pada zaman purba China pernah menggunakan taktik tersebut.
Contohnya, pada zaman kerajaan Tiga Negeri iaitu pada tahun 220 Masihi hingga tahun 280 Masihi, negeri Wu telah membunuh Panglima Guan Yu dari negeri Shu. Raja negeri Shu, Liu Bei keberangan dengan terbunuhnya panglimanya lalu baginda telah mengetuai tentera sebanyak 700 ribu orang untuk menghapuskan negeri Wu.
Tentera negeri Shu yang berkelebihan dari segi geografi telah memenangi banyak pertempuran dalam perang dengan tentera negeri Wu. Lalu, raja negeri Wu telah memilih Lu Xun, seorang pegawai tentera yang muda untuk memimpin tentera dan mempertahankan negeri itu daripada serangan negeri Shu.
Setelah membuat penganalisisan terhadap situasi semasa, Lu Xun telah membuat keputusan untuk melaksanakan pengunduran strategik. Dengan berbuat begitu, tentera negeri Shu akan berada dalam keadaan yang pasif dan kehilangan musuh untuk bertempur. Ini akan melunturkan semangat perjuangan dalam kalangan askar tentera negeri Shu. Ketika melihat tentera negeri Shu telah menjadi penat dan kurang bersemangat, tentera negeri Wu telah melancarkan serangan balas yang menyeluruh terhadap tentera negeri Shu pada setengah tahun kemudian dan berjaya menewaskan musuhnya yang lebih gagah dahulu.
Petempuran tersebut telah mencipta sejarah dan menjadi terkenal sebagai contoh pertempuran yang berjaya menewaskan musuh yang kuat dengan mengambil inisiatif dan bertindak kemudian.
Taktik "Mengambil Kesempatan Sewaktu Musuh dalam Kepenatan" juga banyak diguna pakai dalam perang pada zaman moden. Misalnya, dalam perang saudara China pada tahun 1930-an, kumpulan militan yang dipimpin oleh Parti Komunis China agak ketinggalan berbanding dengan tentera yang diketuai oleh Chiang Kai-shek sama ada dari segi kelengkapan senjata ataupun bilangan anggota.
Pemimpin Parti Komunis China yang juga ahli strategik telah mengemukakan strategi "perang gerila" yang disesuaikan dengan keadaan pasukan sendiri. Strategi itu berprinsipkan "musuh mara, kita undur; musuh menempat, kita mengacau; musuh penat, kita menyerang dan musuh undur, kita mengejar".
Dengan adanya strategi itu, kumpulan militan pimpinan Parti Komunis China pada ketika itu telah memenangi banyak pertempuran dengan kelebihan geografi dan masa yang sesuai.
Dalam penggunaan taktik "Mengambil Kesempatan Sewaktu Musuh dalam Kepenatan", yang pentingnya adalah mengambil inisiatif. Anda harus menunggu dan mencipta peluang dan masa yang sesuai untuk bertempur, jangan sesekali dipengaruhi oleh pihak musuh, sebaliknya anda mesti mencari jalan untuk mengganggu dan memenatkan musuh.
Selain bidang ketenteraan, taktik tersebut juga banyak diguna pakai dalam persaingan perniagaan pada zaman sekarang.
Mereka yang mahu mencuba taktik "Mengambil Kesempatan Sewaktu Musuh dalam Kepenatan" harus bersikap berani, tabah dan sabar. Anda juga mesti menahan pelbagai godaan dan mempunyai semangat yang tabah ketika bersaing dengan orang lain. Hanya dengan berbuat begitu, anda akan mencapai kejayaan dan mendapat perkara yang dihajati.
----Puspa