Cari:
36 Taktik Peperangan: Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga
2008-11-21 18:53:45 CRI Cetak

36 Taktik Peperangan merupakan sebuah buku yang di dalamnya terkandung 36 taktik peperangan yang digunakan pada zaman purba di China dan diwarisi sehingga hari ini. Taktik-taktik peperangan yang terkandung di dalam buku itu telah digunakan di China dalam jangka masa yang panjang dan telah menjadi inti pati kebudayaan tradisi China. Pada masa ini, "36 Taktik Peperangan" telah disesuaikan untuk strategi dalam pelbagai bidang, antaranya termasuklah politik, diplomasi, ilmu pengurusan, perdagangan dan lain-lain.

Dalam "36 Taktik Peperangan" tidak banyak bahagian yang menjelaskan tentang teori peperangan, sebaliknya kandungannya lebih tertumpu kepada amalan praktikal strategi peperangan.

"36 Taktik Peperangan" merupakan rumusan buah fikiran ahli ketenteraan yang terunggul pada zaman purba China. Setiap taktik mempunyai tujuan yang jelas dan bersifat praktikal. Kebanyakan taktik tersebut lebih mementingkan perubahan tindakan yang tidak dijangka ketika bertempur dengan musuh. 36 Taktik Peperangan diketahui oleh umum melalui pelbagai cara. Ada taktik yang dikenali dengan nama judul opera, peribahasa atau peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah China. Dengan demikian, orang ramai lebih mudah untuk memahami teori dan ilmu ketenteraan yang terkandung di dalam buku itu.

Taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" berasal daripada satu pertempuran yang terkenal dalam sejarah China.

Pada abad ke-3 Sebelum Masihi, China berada dalam Tempoh Negeri-negeri Berperang. Tatkala itu, konflik antara pelbagai negeri berlaku dari semasa ke semasa. Demi kepentingan masing-masing, mereka kadangkala saling bersekutu, kadangkala saling bermusuh pula, dan ini menyebabkan situasi menjadi sangat rumit. Negeri Qin yang terletak di bahagian barat laut China merupakan antara negeri yang paling pesat berkembang pada masa itu. Maka negeri itu mula merancang untuk merampas kuasa negeri-negeri yang lain dan bercita-cita untuk menyatukan China pada akhirnya. Pada ketika itu, Negeri Qi yang terletak di bahagian timur China juga merupakan sebuah kuasa besar. Raja Negeri Qin pada mulanya memang berhasrat menghapuskan Negeri Qi yang jauh di timur kerana bimbang akan kemungkinan berlakunya konflik dengan Negeri Qi untuk merebut kuasa pemerintahan seluruh China pada suatu hari nanti. Namun, penasihat raja Qin, Fan Sui membantah rancangan baginda itu. Fan Sui berpendapat bahawa perjalanan dari Negeri Qin ke Negeri Qi terlalu jauh dan akan melalui Negeri Han dan Negeri Wei. Tindakan untuk menyerang Negeri Qi memerlukan kerahan tenaga sebilangan besar tentera, baru mungkin tentera negeri itu dapat ditewaskan. Akan tetapi, jika mereka berbuat demikian, pertahanan di wilayah Negeri Qin akan menjadi lemah, dan ada risiko ibu kota mereka sendiri diserang oleh negeri yang lain dalam tempoh tersebut. Fan Sui mencadangkan bahawa serangan terhadap Negeri Han dan Negeri Wei yang berjiran dengan Negeri Qin patut dilaksanakan dahulu, dan ancaman Negeri Qi ditangani kemudian. Dalam pada itu, untuk mencegah ketiga-tiga negeri tersebut menjalinkan hubungan sekutu, Negeri Qin patut mengambil inisiatif untuk bersekutu dengan Negeri Qi dahulu.

Raja Negeri Qin berkenan menerima cadangan Fan Sui dan melaksanakan dasar berteman dengan negeri yang terletak jauh daripada wilayahnya iaitu Negeri Qi dan Negeri Chu. Sementara itu, tentera Negeri Qin telah menduduki beberapa buah negeri kecil yang berhampiran dan sekali gus menyatukan bahagian barat laut China. Seterusnya kerajaan Qin telah menghapuskan Negeri Chu di selatan dan Negeri Qi di timur dan akhirnya menyatukan China. Dengan itu, Maharaja Qin Shihuang telah menubuhkan rejim pemerintah pusat yang pertama dalam sejarah China.

Dalam buku "36 Taktik Peperangan", penjelasan mengenai taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" berbunyi begini: ketika sesuatu sasaran ketenteraan susah hendak dicapai kerana dihalang oleh kedudukan geografinya, kita patut menyerang musuh yang berhampiran dahulu dan tidak menyerang sasaran yang terletak jauh daripada kita itu. Untuk mencegah musuh-musuh menjalinkan hubungan sekutu, kita mesti menggunakan apa jua cara untuk memecahkan mereka kepada puak-puak, supaya kita dapat menghapuskan mereka satu demi satu pada suatu hari nanti. Jika diteliti, berteman dengan negara jauh sebenarnya merupakan satu taktik melengahkan, agar ada masa dan tidak berperang dengan terlalu banyak musuh secara serentak. Setelah kita menghapuskan musuh di sekitar kita, teman yang jauh pula menjadi sasaran baru kita. Penjelasan tambahan terhadap taktik tersebut berbunyi, dalam situasi yang rumit, berteman dengan musuh di sekitar kita sangatlah bahaya kerana kita sentiasa terdedah kepada ancaman mereka dan mudah pula diserang oleh mereka. Maka, kita mesti menghapuskan ancaman yang tersembunyi di sekitar kita dahulu sebelum menyerang sasaran yang lebih jauh.

Taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" boleh dikatakan bersifat tipu daya, dan tipu helah itu mudah diketahui atau disedari oleh manusia. Dalam keadaan yang rumit yang melibatkan pelbagai kuasa politik dan ketenteraan yang saling bersaing, pengguna taktik ini mencapai kejayaan kerana dia mengetahui bahawa kuasa-kuasa yang lain semuanya bimbang akan mengalami kerugian kerana terlibat dalam peperangan terlebih dahulu, dan ingin selamat untuk seketika. Bagi Negeri Qi yang kena tipu muslihat itu, mereka mungkin mengetahui cita-cita Negeri Qin di sebalik dasar berteman dengannya, tetapi mereka memilih untuk berteman juga dengan Negeri Qin kerana tidak mempunyai keyakinan untuk menewaskannya tatkala itu. Maka, Negeri Qi memilih untuk membuat perjanjian damai sementara daripada bermusuh dengan Negeri Qin.

----Puspa

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China