Pada zaman dahulu kala, ada seorang tua yang dikenali sebagai Pak Pandir. Usianya sudah hampir 90 tahun. Rumahnya berhadapan dengan dua buah gunung yang besar, iaitu Gunung Thaihang dan Gunung Wangwu. Kedua-dua buah gunung tersebut menjadi penghalang perjalanan Pak Pandir sekeluarga.
Pada suatu hari, Pak Pandir mengumpulkan ahli keluarganya dan berkata, "Bagaimana, kalau kita sekeluarga berusaha bersama-sama meratakan kedua-dua buah gunung itu?"
Apabila mendengar cadangan Pak Pandir itu, anak dan cucu-cicitnya berkata, "Cadangan itu bagus. Marilah kita mula meratakan kedua-dua gunung itu padaesok hari." Akan tetapi, isteri Pak Pandir berasa tugas itu terlalu sukar untuk dilaksanakan dan mengemukakan pendapat yang bertentangan, "Kita sudah tinggal di sini begitu lama, mengapa kita tidak boleh terus hidup begini sahaja? Tambahan pula, kedua-dua gunung itu begitu besar. Jika ia dapat diratakan, tempat mana yang boleh menampung begitu banyak batu dan lumpur?"
Pandangan isteri Pak Pandir ini menimbulkan reaksi dan perbincangan dalam kalangan anak cucunya. Masalah itu memang sukar diselesaikan. Akhirnya, mereka dengan sebulat suara memutuskan untuk mengangkut batu dan lumpur tersebut ke laut."
Pada keesokan harinya, Pak Pandir pun memimpin ahli keluarganya untuk mula meratakan kedua-dua gunung tersebut. Ada seorang jirannya, janda yang mempunyai seorang anak lelaki yang berumur kira-kira tujuh atau lapan tahun. Apabila mendengar berita bahawa keluarga Pak Pandir akan meratakan gunung, dia pun datang menghulurkan bantuan. Akan tetapi, peralatan mereka hanyalah cangkul dan bakul, sedangkan kedua-dua gunung tersebut jarak yang agak jauh dari laut. Setiap hari, setiap orang hanya mampu berulang sekali sahaja dari gunung ke laut. Jadi, walaupun setelah berusaha selama sebulan, gunung itu nampaknya sama sahaja berbanding masa sebelumnya.
Pada suatu hari, ada seorang tua yang digelar Pak Pintar. Melihat keluarga Pak Pandir yang sedang meratakan gunung, dia berasa geli hati. Dia pun berkata kepada Pak Pandir, "Usia awak sudah lanjut, dan awak pun susah berjalan, bagaimana awak hendak meratakan kedua-dua gunung yang begitu besar?"
Pak Pandir menjawab, " Nama awak Pintar, akan tetapi awak tidak lebih pijak daripada budak-budak. Bila saya mati, anak-anak saya akan meneruskan kerja saya ini; bila mereka pula mati, cucu-cicit saya akan meneruskannya, dan kerja akan diteruskan oleh anak-anak mereka sampai kepada cucu-cicit mereka turun-temurun. Batu dan lumpur di gunung tersebut semakin berkurangan,disebabkan kami meratakannya setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun. Mengapa kami tidak boleh meratakan gunung tersebut?" Pak Pintar itu tidak boleh menjawab lagi.
Pak Pandir dan keluarganya terus meratakan kedua-dua buah gunung tersebut dengan tidak menghiraukan keadaan cuaca, panas atau sejuk. Mereka bekerja dari siang hingga ke malam setiap hari. Akhirnya, menurut ceritanya, Dewa terharu melihat ketabahan mereka, lalu menghantar dua pari-pari untukt memindahkan kedua-dua gunung tersebut.
Pengajaran:
Kisah ini memberikan pengajaran kepada kita agar jangan berputus asa ketika menghadapi kesukaran.