Cari:
Tian Ji Sertai Lumba Kuda
2009-04-22 10:14:15 CRI Cetak

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, iaitu abad ke-4 sebelum Masihi, di negeri Wei, terdapat seorang pemimpin kerajaan bernama Sun Bing. Sun Bing dipenjarakan begitu lama atas fitnah yang sengaja dibuat oleh rakan sejawatnya, Pang Juan yang ingin menghancurkan kerjaya politiknya. Setelah diselamatkan oleh utusan dari negeri Qi, dia terus mengikut utusan itu ke negeri tersebut.

Dengan bakatnya yang luar biasa dalam bidang ketenteraan, Sun Bing mendapat penghormatan yang tinggi daripada seorang jeneral kanan di negara Qi, iaitu Tian ji. Sun Bing pun bersedia berkongsi taktik ketenteraannya dengan Tian Ji, dan menjadi pengikutnya.

Pada masa itu, lumba kuda merupakan kegiatan hiburan yang paling digemari oleh kalangan bangsawan negeri Qi, malah terdapat sebahagian mereka yang asyik menggunakan kegiatan tersebut untuk berjudi. Bagaimanapun, Tian Ji sering kalah dalam penjudian tersebut. Pada suatu hari, dia kalah lagi, dan pulang ke rumah dengan kecewa. Melihat keadaan itu, Sun Bing pun berkata, "Lain kali, tuan boleh membawa saya ke padang lumba kuda. Mungkin saya dapat membantu tuan."

Tidak lama selepas itu, hari perlumbaan kuda tiba lagi. Sun Bing pun mengikut Tian Ji pergi ke padang lumba kuda itu. Dia mendapati bahawa kuda yang menyertai perlumbaan itu dibahagikan kepada tiga kelas, iaitu kelas tinggi, kelas sederhana dan kelas bawah, berasas kepada kelajuan masing-masing. Perlumbaan dijalankan sebanyak 3 set. Siapa yang menang 2 set terdahulu daripada 3 set tersebut, ia akan dikira sebagai pemenang untuk perlumbaan itu.

Sun Bing mendapati bahawa tahap kecergasan kuda milik Tian Ji tidak jauh bezanya daripada kuda-kuda yang lain. Cuma strategi yang digunakannya tidak sesuai. Jadi, dia pun memberitahu kepada Tian Ji, "Tuan tidak perlu bimbang lagi. Saya berjanji, tuan pasti menang dalam perlumbaan kali ini." Ketika mendengar kenyataan itu, Tian Ji sangat gembira. Dia turut menawarkan wang pertaruhan yang berjumlah besar untuk menjemput raja Qi berjudi dengannya. Oleh kerana kuda-kuda raja Qi tidak pernah kalah dalam perlumbaan sebelum ini, maka baginda pun menerima jemputan itu dengan senang hati.

Terlebih dahulu, Sun Bing menggunakan kuda kelas bawah milik Tian Ji untuk berlumba dengan kuda kelas tinggi yang dipunyai oleh raja Qi. Jelaslah bahawa Tian Ji pasti kalah dalam pusingan ini. Keputusan tersebut menjadikan raja Qi sangat gembira. Dalam pusingan kedua, Sun Bing menggunakan kuda kelas tingginya untuk berlumba dengan kuda kelas sederhana milik raja. Dengan iringan sorak sorai yang meriah, kuda Tian Ji berlari melampaui kuda raja, dan menang dalam pusingan itu. Dalam pusingan terakhir, Sun Bing menggunakan pula kuda kelas sederhananya untuk berlumba dengan kuda kelas bawah milik raja. Tian Ji menang sekali lagi. Dengan yang demikian, Tian Ji mengalahkan raja Qi dengan mata 2:1. Keputusan ini memang di luar sangkaan orang ramai.

Raja Qi pun hairan, dari mana Tian Ji mendapat kuda lumba yang begitu hebat. Tian Ji memberitahu baginda bahawa kemenangannya bukanlah kerana dia telah mendapat kuda yang hebat. Sebaliknya, strategi yang dicadangkan oleh Sun Bing itulah yang amat baik. Mendengar kenyatan itu, raja Qi segera memanggil Sun Bing ke istananya. Sun Bing pun memberitahu baginda bahawa ketika berperang, jika berkemampuan kita setaraf dengan pihak lawan, strategi yang sesuai akan membantu mengalahkan lawan. Jika kemampuan kedua-dua pihak jauh berbeza, strategi yang bijak juga akan membantu mengurangkan kerugian sebanyak mungkin.

Dengan kebijaksanaannya yang luar biasa itu, Sun Bing ditugaskan sebagai penasihat tentera raja Qi. Sejak itu, tentera Qi yang diketuainya menjadi pasukan tentera yang ditakuti oleh negeri-negeri musuh.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China