Cari:
Chu Long Memujuk Ibu Suri Zhao 
2009-04-29 10:21:03 CRI Cetak

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, iaitu abad ke-5 sebelum Masihi, negeri Zhao ditadbirkan oleh Ibu Suri Zhao. Ketika itu, negeri Qin ingin menyerang negeri Zhao. Jadi, negeri Zhao terus meminta bantuanku dari negeri Qi yang menjalin hubungan baik dengannya. Bagaimanapun, demi kepentingan sendiri, raja Qi meminta Ibu Suri Zhao supaya menghantar anak bongsunya, iaitu putera Chang'an Jun, ke negerinya sebagai jaminan. Dengan prasyarat tersebut, barulah mereka akan mengerahkan askar untuk membantu negeri Zhao. Disebabkan terlalu sayang kepada anak bongsunya, Ibu Suri Zhao berlengah-lengah membuat keputusan. Para menteri yang bimbang akan keselamatan negeri, terus-menerus memujuk Ibu Suri Zhao supaya menghantar Chang'an Jun ke negeri Qi. Hal itu menjadikan baginda sangat marah.

Pada suatu hari, seorang menteri kanan yang bernama Chu Long datang mengadap Ibu Suri Zhao. Ibu Suri Zhao menyangka bahawa kedatangan menteri ini adalah untuk memujuk baginda supaya menghantar putera Chang'an Jun ke negari Qi. Baginda tidak suka berbincang hal ini, dan "angin" baginda pun tidak berapa elok. Namun, Chu Long teurs mengucap salam dengan berkata, "Hamba sudah lama tidak datang mengadap tuanku. Bagaimana kesihatan tuanku?"

Ibu Suri Zhao menjawab, "Beta kurang bersenam akhir-akhir ini. Makan pun sedikit sahaja". Chu Long mengatakan, "Hamba juga tidak berselera untuk makan, tetapi selalu keluar berjalan-jalan, dan menambah sedikit makanan yang berkhasiat. Ini amat bermanfaat bagi kesihatan hamba". Ibu Suri Zhao pula mengatakan, "Susahlah bagi beta untuk berbuat sedemikian". Dengan sapaan sebegini, kemarahan Ibu Suri Zhao kian reda.

Melihat keadaan itu, Chu Long pula berkata, "Anak bongsu hamba bernama Shu Qi. Dia tidak berapa pandai, kerana hamba terlalu memanjakannya. Kini, hamba sudah tua. Hamba hanya mahu mencari satu peluang kerja untuknya. Bolehkah tuanku menugaskannya sebagai seorang pengawal di istana?". Ibu Suri Zhao bertanya, "Bolehlah. Berapa usianya?" Chu Long menjawab, "Umurnya 15 tahun. Walaupun masih muda, tetapi hamba berharap agar dapat mengamanahkannya kepada tuanku sebelum hamba meninggal dunia". Ketika melihat angin Ibu Suri Zhao menjadi bertambah baik, dia terus mengatakan, "Orang yang tua patut menyusun perancangan yang rapi untuk kejayaan masa depan anak-anaknya. Namun, pada tanggapan hamba, rancangan yang tuanku buat untuk masa depan putera Chang'an Jun agak kurang bijak". Ibu Suri Zhao tidak mengerti maksudnya. Maka, Chu Long terus menerangkan bahawa "Sejak zaman kuno, jarang ada keturunan raja dapat mewarisi takhta secara turun-temurun. Masakan mereka tidak mampu? Jawapannya tentu bukan. Puncanya adalah kerana mereka tidak pernah membuat apa-apa jasa kepada negeri. Setelah naik takhta, mereka tidak dapat mengekalkan kuasa mereka. Sekarang tuanku tidak mahu memberikan peluang kepada putera Chang'an Jun untuk membuat jasa yang wajar kepada negeri. Setelah tuanku mangkat, bagaimana pula bakal raja nanti hendak memperkukuh kuasanya? Inilah sebabnya hamba menganggap rancangan tuanku untuk putera Chang'an Jun itu kurang bijak."

Mendengar kenyataan tersebut, barulah Ibu Suri Zhao menyedari bahawa kedatangan Chu Long memanglah untuk memujuk baginda menghantar putera Chang'an Jun ke negeri Qi. Bagaimanapun, tanpa disedarinya, baginda sudah berkenan dengan cadangan Chu Long itu. Maka, baginda segera membuat arahan supaya menghantar anak bongsunya ke negeri Qi. Dengan yang demikian, negeri itu pun bersedia menunaikan janjinya sebelum ini, iaitu mengerahkan askar untuk membantu negeri Zhao melawan serangan negeri Qin.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China